Subsidi bersasar dilaksana bila keadaan ekonomi mengizinkan

Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz
Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keputusan memperkenalkan subsidi bersasar hanya akan dibuat setelah keadaan ekonomi mengizinkan iaitu apabila kadar inflasi dapat dikawal dengan baik, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz

Beliau berkata, masih terlalu awal untuk membuat keputusan memperkenalkan subsidi bersasar melalui Bajet 2023 akan datang kerana ia tidak wajar dilaksanakan dalam keadaan inflasi global yang tinggi.

"Pada masa sama kita juga perlu memahami bahawa subsidi tidak bersasar dalam jangka masa panjang tidak akan membawa faedah kepada pertumbuhan ekonomi negara.

"Kita masih lagi dalam proses pemulihan dan perkara ini perlu dibawa ke Jemaah Menteri untuk dibincangkan sama ada subsidi bersasar akan diperkenalkan dalam Bajet 2023 ini," katanya menerusi program bual bicara Inklusif di RTM, pada Isnin.

Beliau berkata, sekiranya pada 2023 keadaan ekonomi mengizinkan, konflik geopolitik dunia yang semakin reda serta pertumbuhan ekonomi negara yang stabil, satu pembaharuan struktur akan dibuat bagi membantu golongan rentan.

"Melalui pembaharuan struktur ini, kita akan memperkenalkan polisi baharu yang boleh menolong golongan yang betul-betul memerlukan dan tidak terlalu menyeluruh," tambahnya. - Bernama.