Penduduk gusar diarah pindah, dikenakan sewa tinggi

Wei Kiat (tiga dari kanan) dan William (tiga dari kiri) bertemu penduduk Taman Damai Batu Arang yang menerima notis daripada RAC pada 27 Julai lalu.
Wei Kiat (tiga dari kanan) dan William (tiga dari kiri) bertemu penduduk Taman Damai Batu Arang yang menerima notis daripada RAC pada 27 Julai lalu.
A
A
A

RAWANG - Sebanyak 17 keluarga di Taman Damai Batu Arang di sini khuatir kemungkinan mereka diusir dari rumah selepas menerima notis pemakluman menduduki tanah Perbadanan Aset Keretapi (RAC) tanpa kebenaran.

Surat diterima 27 Julai lalu menerangkan secara terperinci bahawa penduduk berkenaan menyalahi peraturan dan perintah Kanun Tanah Negara (Akta 828) dan jika didapati bersalah boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya.

Notis berkenaan juga memberitahu pemilik rumah berkenaan tidak boleh menuntut ganti rugi sekiranya kawasan diduduki itu terlibat dengan projek operasi kereta api pada masa hadapan.

Penduduk, Anuar Ali, 63, berkata, penduduk berharap RAC bertimbang rasa ketika rakyat berada dalam kesusahan.

Anuar
Anuar

"Kami mohon RAC bertimbang rasa kerana kebanyakan penduduk tinggal di sini adalah warga emas yang tiada pendapatan dan golongan berpendapatan rendah (B40).

"Jika dipaksa bayar sewa tinggi kami tak mampu dan jika diroboh rumah kami dalam tempoh 14 hari itu adalah tindakan kejam," katanya pada sidang akhbar berhubung isu itu pada Isnin.

Turut hadir, Ahli Parlimen Selayang, William Leong dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Chua Wei Kiat.

Menurutnya, penduduk terpaksa meminta campur tangan pihak berkuasa dan wakil rakyat jika RAC mahu mengambil tindakan tegas kepada mereka.

"Dahulu kawasan ini hutan, selepas bina rumah barulah kami tahu ini tanah RAC.

"Kami tak nafikan hak RAC cuma mohon pertimbangan, jika mahu kenakan sewa letak kadar yang penduduk mampu bayar," katanya.

Seorang lagi penduduk, P Palani, 72, berkata, dia buntu memikirkan nasibnya dan isteri jika benar mereka diarah mengosongkan unit susulan edaran notis tersebut.

Palani
Palani

"Pendapatan saya sudah habis buat rumah, sekarang nak makan pun tidak ada (duit), kami hidup susah, ada yang bela ayam dan kambing serta cucuk tanam untuk teruskan hidup.

"Walaupun ini tanah RAC, tak boleh buat macam ini kerana kami telah tinggal lama di sini," katanya.

Sementara itu, Wei Kiat berkata, RAC dan penduduk perlu duduk semeja bagi menyelesaikan isu tersebut.

"Kena ambil pendekatan berbincang daripada tindakan tegas.

Saya minta RAC tangguhkan dulu tindakan tegas kepada penduduk.

"Saya bersama Ahli Parlimen Selayang, William Leong sedang mendapatkan masa untuk bertemu RAC.

Patut bertemu pada minggu lepas namun ditangguhkan pada 29 Ogos," katanya.

Pada masa sama, beliau berharap kerajaan pusat dan Kementerian Pengangkutan dapat campur tangan memandangkan RAC berada di bawah kementerian tersebut.

Sementara itu, William berkata, penduduk di kawasan Bunga Raya berhampiran stesen kereta api Kuang pernah menerima notis sama sebelum ini.

"Pada sesi penerangan, RAC maklumkan tindakan itu susulan laporan Jabatan Audit mendapati tiada rekod terperinci status tanah diduduki penduduk terlibat.

"RAC dalam keadaan perlu memberikan penjelasan kepada Jabatan Audit menyebabkan mereka membuat pemutihan.

Notis dikeluarkan untuk arahan sewaan, kadarnya belum ditentukan," katanya.

Susulan itu, beliau berharap pertemuan bersama RAC bakal mencapai situasi menang-menang buat kedua belah pihak.