Sultan Terengganu cemar duli rasmi pusat selam UMT

Sultan Mizan (depan) mencemar duli merasmikan UMT Diving School di Stesen Penyelidikan Alami Marin UMT di Pulau Bidong, pada Isnin.
Sultan Mizan (depan) mencemar duli merasmikan UMT Diving School di Stesen Penyelidikan Alami Marin UMT di Pulau Bidong, pada Isnin.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin mencemar duli merasmikan pusat selam Universiti Malaysia Terengganu (UMT) atau UMT Diving School yang ditubuhkan secara rasmi di Stesen Penyelidikan Alami Marin UMT di Pulau Bidong, pada Isnin.

Naib Canselor UMT, Prof Datuk Dr Mazlan Abd Ghaffar berkata, keberangkatan baginda amat bermakna dan secara tidak langsung mencerminkan keprihatinan terhadap pengurusan marin dan alam sekitar yang menjadi bidang utama kajian penyelidik UMT.

"Sejarah baharu tercipta apabila UMT Diving School ditubuhkan secara rasmi di stesen ini.

"UMT amat berterima kasih dan menjunjung setinggi-tinggi kasih di atas perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk berangkat ke Pulau Bidong bagi menyempurnakan majlis ini," katanya dalam kenyataan, pada Isnin.

Beliau berkata, pada awalnya penubuhan pusat itu bertujuan menyediakan lokasi latihan kepada pelajar Sains Samudera dan Program Perikanan.

"Penubuhan pusat selam ini bertepatan dengan bidang tujahan UMT dan ia penting bagi menyokong pelaksanaan proses pengajaran dan pembelajaran.

"Ia juga menjadikan UMT sebagai satu-satunya universiti yang mempunyai 'dive centre' yang beroperasi di kampus utama dan Stesen Penyelidikan Alami Marin Pulau Bidong," katanya.

Beliau berkata, pusat selam itu berperanan dalam menyediakan perkhidmatan operasi bagi semua aktiviti selam skuba di UMT merangkumi perkhidmatan penyelam profesional, aktiviti penyelidikan, pengajaran dan pembelajaran, kemudahan sewaan peralatan dan arkeologi bawah air.

"Stesen Penyelidikan Alami Marin Pulau Bidong telah dianugerahkan hak milik pajakan sementara atau TOL selama 99 tahun oleh Kerajaan Negeri Terengganu kepada Pusat Perikanan dan Sains Marin, Universiti Pertanian Malaysia (UPM).

"UMT berharap supaya semua pihak memberikan komitmen dan dedikasi yang tinggi kepada penubuhan pusat selam ini serta operasinya terutamanya pelajar, penyelidik dan agensi luar," katanya.