Flat jadi 'port' dadah, polis Kelantan akan bincang dengan PBT

Muhamad Zaki - Foto Bernama
Muhamad Zaki - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Polis Kelantan akan mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi membanteras pengedaran dan penyalahgunaan dadah di kawasan rumah flat atau pangsapuri.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, ada juga beberapa rumah flat tidak berpenghuni dikenal pasti menjadi 'port' pengedaran dadah di sekitar bandar ini.

Menurutnya, serbuan sudah dilakukan termasuk di Flat Lembah Sireh dan beberapa kawasan lain di sekitar bandar.

"Saya akan berbincang dengan pihak perbandaran untuk melihat apakah langkah yang sesuai untuk membanteras pengedaran dan penyalahgunaan dadah di kawasan itu," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) pada Isnin.

Tambah beliau, polis akan melakukan strategi berbeza di kawasan flat yang didapati menjadi lokasi aktif penagih dadah bagi memastikan penghuni lain selamat.

"Polis juga akan bekerjasama dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk membanteras dadah di kawasan pelancongan.

"Kerjasama ini bagi memastikan tempat tumpuan itu sentiasa dipantau," katanya.

Sebelum ini polis menahan seorang lelaki bersama 55 pil kuda kira-kira jam 2.30 petang di sebuah lokasi di bandar ini.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Muhamad Zaki memaklumkan, siasatan ke atas seorang pegawai dan dua anggota polis yang ditahan susulan dakwaan kehilangan wang tunai sebanyak RM45,000 ketika serbuan di sebuah rumah di Pasir Kelang Baru masih diteruskan.

Katanya, sehingga kini belum terbukti ada rampasan wang sejumlah itu seperti yang didakwa wanita terbabit.

Bagaimanapun menurut Muhamad Zaki, kesemua pegawai dan anggota terbabit masih menjalankan tugas seperti biasa tetapi melalui pemantauan.

"Siasatan awal mendapati wang berkenaan boleh diakses oleh kedua-dua beranak berkenaan dan pendapat awal bahawa sebahagian kecil wang itu sudah digunakan," katanya.

Pada 27 Julai lalu, pegawai polis dan dua anggotanya melakukan serbuan di sebuah rumah dan hasil serbuan menahan seorang lelaki berusia 29 tahun selain merampas 1,000 biji pil yaba.

Bagaimanapun, keesokannya, ibu kepada suspek yang ditahan membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Krai mendakwa polis terbabit mengambil wang tunai miliknya berjumlah RM45,000.

Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.