Tiga remaja lari dari rumah perlindungan

Wan Mohd Zahari
Wan Mohd Zahari
A
A
A

KUANTAN - Tiga remaja di sebuah rumah perlindungan di Jalan Kuantan-Pekan di sini dipercayai melarikan diri dalam satu kejadian pada pagi Isnin.

Dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, remaja berusia 13 hingga 17 tahun berkenaan yang mempunyai masalah psikiatri didapati hilang dari rumah perlindungan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, kehilangan ketiga-tiga remaja itu disedari pegawai bertugas ketika mahu mengejutkan mereka di asrama perlindungan itu bagi persiapan sesi persekolahan.

“Usaha mencari remaja terbabit dilakukan di kawasan sekitar, namun tidak menemui mereka.

“Susulan itu, pembantu kebajikan masyarakat rumah kanak-kanak itu melaporkan kejadian berkenaan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut pada jam 10.29 pagi,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Beliau berkata, berdasarkan laporan, salah seorang daripada penghuni yang hilang itu merupakan kanak-kanak berusia 13 tahun yang baru keluar daripada menerima rawatan dari Wad Dahlia Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini pada Jumaat.

“Dua kanak-kanak lagi berusia 14 tahun dan 17 tahun yang merupakan pesakit psikiatri juga masih menerima rawatan.

“Justeru, laporan dibuat agar kesemua mereka boleh mendapatkan semula rawatan di Wad Psikatari HTAA tersebut selain untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Wan Mohd Zahari menjelaskan kejadian itu kali kelima berlaku di pusat jagaan tersebut manakala ketiga-tiga remaja terbabit pernah beberapa kali melarikan diri dan mencederakan diri mereka akibat tekanan perasaan.

“Pihak polis akan menghubungi keluarga remaja terbabit bagi memaklumkan berkenaan kehilangan anak-anak mereka dan usaha mengesan mereka masih lagi diteruskan,” katanya.