Tiada keperluan gabungan politik ‘rapuh’ sebelum PRU15

Mohd Sharkar
Mohd Sharkar
A
A
A

KUANTAN - Tiada keperluan untuk parti politik ‘rapuh’ bergabung sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) setelah Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti diluluskan di Dewan Rakyat.

Ahli Majlis Tertinggi Kerja UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, ini kerana gabungan ‘rapuh’ tidak akan menjamin kestabilan politik dan episod sama seperti berlaku selepas PRU14 dibimbangi berulang.

Beliau menegaskan adalah lebih baik gabungan politik dibentuk selepas pilihan raya umum setelah rakyat membuat keputusan.

“Kerjasama atau gabungan itu sepatutnya dizahirkan selepas PRU15 setelah mandat diberikan rakyat.

Jadi, terserah kepada parti dominan yang menjadi pilihan rakyat untuk menentukan gabungan.

“Saya berpandangan, pada PRU15 akan datang, parti-parti politik atau gabungan utama sedia ada seperti Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH); Perikatan Nasional (PN), Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), malah UMNO, MCA, MIC (jika perlu) pun bolehlah bertanding secara bersendirian atas tiket parti masing-masing.

“Dengan adanya RUU Anti Lompat Parti, setiap parti politik tidak perlu lagi bimbang episod 'lompat si katak lompat' berulang seperti berlaku selepas PRU14 lalu.

Sehingga akhir Mac lalu seramai 39 ahli Parlimen bertukar parti selepas PRU14,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Beliau berkata, langkah tersebut telah diamalkan di negara-negara maju dan ia terbukti berkesan memastikan kestabilan politik berpanjangan dalam sesebuah kerajaan memerintah.

Mohd Sharkar menambah, pengalaman pertukaran Perdana Menteri sebanyak tiga kali selepas PRU14 telah menunjukkan betapa serius isu lompat parti.

Jelasnya, selepas ini, tidak akan berlaku lagi tawar-menawar yang menyebabkan ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) keluar parti dan masuk parti lain.

“RUU Anti Lompat Parti akan memberi keyakinan khususnya kepada pengundi.

Mereka bertambah yakin dengan kewujudan sesebuah kerajaan yang akan dilindungi dari bencana ahli Parlimen bertukar parti.

“Pengundi akan menjadi lebih yakin dengan pilihan yang mereka buat kerana tahu ahli Parlimen atau ADUN dipilih tidak akan melompat parti,” katanya.

Ujarnya, inilah masa untuk setiap parti-parti politik menguji kekuatan parti masing-masing.

“Selepas itu, baharu kita memikirkan soal gabungan bagi membentuk kerajaan yang kukuh dan stabil selepas PRU15,” jelasnya.