Mesyuarat cawangan diminta tumpu persiapan PRU15: Ahmad Maslan

Ahmad Maslan
Ahmad Maslan
A
A
A

PONTIAN – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mahu cawangan parti yang akan bermesyuarat bermula 15 Ogos ini agar menumpukan soal persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke 15 ( PRU15).

Menurutnya, dalam tempoh yang semakin singkat menjelang PRU15, persiapan berdepan pilihan raya perlu diberi keutamaan 22,000 cawangan selain sayap parti Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO.

"Disebabkan tiada sebarang pemilihan parti pada tahun ini, maka ucap utama ketua cawangan, ketua wanita, pemuda dan puteri cawangan dan wakil bahagian perlu ke arah kesiapsiagaan bagi menghadapi PRU15 yang akan diadakan pada bila-bila masa," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan program Ziarah Kasih di Kampung Parit Lama, Benut pada Isnin.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pontian itu turut berharap agar semua UMNO Bahagian bersedia untuk menyelaras mesyuarat UMNO cawangan serta sayap-sayapnya sebagaimana tempoh yang telah ditetapkan.

Ahmad ( tiga dari kanan) ketika melakukan ziarah kasih di Kampung Parit Lama Benut pada Isnin.
Ahmad ( tiga dari kanan) ketika melakukan ziarah kasih di Kampung Parit Lama Benut pada Isnin.

Sebelum itu, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi ( MKT ) pada 4 Ogos lalu memutuskan persidangan UMNO Cawangan bermula pada 15 Ogos hingga 18 September, Mesyuarat Perwakilan Bahagian 14, 15 dan 16 Oktober dan Perhimpunan Agung UMNO pada 23 hingga 26 November.

Ia susulan keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan ( ROS ) meluluskan Pindaan Perlembagaan UMNO pada 29 Julai lalu berhubung tiada sebarang pemilihan parti pada tahun ini.