Tugas berat menanti Ten Hag

Ten Hag
Ten Hag
A
A
A

PENGURUS baharu Erik ten Hag dapat melihat sendiri wajah sebenar Manchester United apabila tewas 1-2 kepada Brighton & Hove Albion di Old Trafford selepas 113 tahun.

Pascal Gross menjadi duri dalam daging The Red Devils apabila mencetak dua jaringan untuk memberikan kemenangan kepada pasukannya dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Sabtu.

Ten Hag mengakui bakal menghadapi tugas yang sukar selepas kekalahan tersebut.

"Satu tugas yang amat sukar. Ia amat mengecewakan dan kami perlu menanganinya.

"Saya tidak berpuas hati kerana kami tewas dan ia tidak sepatutnya berlaku. Kami sepatutnya beraksi dengan lebih baik.

"Kami memberikan dua gol mudah. Kami perlu belajar daripada kesilapan ini dengan pantas. Kami tidak ada masa dan perlu melakukannya dengan cepat," ujar Ten Hag.

Brighton membuka tirai jaringan apabila Leandro Trossard melakukan hantaran kepada bekas pemain United, Danny Welbeck yang melorongkan bola untuk disempurnakan dengan baik oleh Gross.

Sembilan minit kemudian pemain kelahiran Jerman itu menggandakan jaringan untuk gol keenamnya sepanjang karier menentang United.

Pasukan tuan rumah bernasib baik apabila memperoleh gol saguhati setelah Alexis Mac Allister tertampan bola ke gawang sendiri.

Bekas bos Ajax itu meletakkan Christian Eriksen untuk menerajui jentera serangan selepas Anthony Martial mengalami kecederaan.

The Red Devils tampil lebih bertenaga selepas kemasukan Ronaldo pada minit ke-52 dan mereka merapatkan jurang akibat kesilapan Mac Allister.

"Cristiano baru 10 hari berlatih dan ia terlalu singkat untuk bermain 90 minit penuh. Anda tidak boleh memaksanya," ujar Ten Hag.