Hong Quan juara B-16 Kejohanan Badminton Jelajah Remaja Elit 2022

Hong Quan muncul juara selepas menewaskan Muhammad Faiq dalam aksi final di Bukit Kiara pada Ahad.
Hong Quan muncul juara selepas menewaskan Muhammad Faiq dalam aksi final di Bukit Kiara pada Ahad.
A
A
A

PEMAIN remaja kebangsaan, Lok Hong Quan muncul juara perseorangan lelaki Bawah 16 tahun (B-16) pada pusingan akhir Kejohanan Badminton Jelajah Remaja Elit 2022 pada Ahad.

Kejayaan itu hadir selepas Hong Quan menewaskan Muhammad Faiq dalam pertarungan tiga set dengan keputusan 21-15, 13-21, 21-10 pada aksi final di Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

"Lawan saya hari ini sangat sukar kerana cara permainan dia baik dan smash yang laju, namun saya beritahu kepada diri sendiri untuk bertahan dan cuba menang perlawanan ini.

"Selepas ini, jurulatih mahu saya tumpukan terhadap aspek kekuatan dan tingkatkan lagi stamina," kata Hong Quan.

Sementara itu, saingan gelaran juara bagi perseorangan perempuan B-16 menjadi milik pemain BAM, Siti Zulaikha Azmi Tan yang menundukkan wakil Pulau Pinang, Oo Shan Zi 21-16, 21-19 dalam aksi final.

"Saya berpuas hati dengan permainan kali ini dan terima tentangan sengit daripada lawan. Banyak lagi yang perlu saya tingkatkan terutama stamina dan kualiti permainan.

"Jurulatih juga melihat kemenangan ini memberi suntikan semangat kepada saya untuk terus maju pada kejohanan akan datang," kata Siti Zulaikha.

Dalam saingan beregu lelaki B-16, pasangan BAM, Aaron Tai-Kang Khai Xing menundukkan beregu dari Johor, Siau Yun Hang-Tan Jia Le 21-11, 21-10 untuk mengesahkan status selaku juara.

Gandingan Carmen Ting-Ong Xin Yee pula muncul juara beregu perempuan B-16 selepas menang ke atas Clarissa San-Tan Zhing Hui 21-9, 21-9.