KBS, MSN tumpu bantu atlet ke APG Kemboja 2023

Sukan Para Asean (APG) ke-12 di Kemboja. - Foto Bernama
Sukan Para Asean (APG) ke-12 di Kemboja. - Foto Bernama
A
A
A

SELEPAS berakhirnya temasya Sukan Para ASEAN (APG) ke-11, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majis Sukan Negara (MSN) kini mahu memberi penumpuan kepada atlet para negara membuat persiapan rapi menjelang Sukan Para Asean (APG) ke-12 di Kemboja dan Sukan Para Asia 2023 di China.

Ketua Setiausaha KBS Datuk Jana Sathiran Muniayan berkata, KBS dan MSN akan melakukan analisis ke atas pencapaian atlet para negara yang beraksi di temasya APG ke-11 di Solo, Indonesia dalam usaha memperbaiki kedudukan pingat negara.

"KBS bersama MSN dan Majlis Paralimpik Malaysia juga akan memberikan penumpuan lebih kepada latihan atlet kita, sebab tak sampai 10 bulan lagi mereka akan menghadapi APG di Kemboja.

"Jadi kita akan membuat persediaan yang rapi, kenal pasti kelemahan dan bagaimana kita boleh perbaiki kedudukan pingat bagi negara dalam tempoh 10 bulan ini,” katanya kepada pemberita selepas menyambut kepulangan kontinjen negara dari Solo di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini, pada Ahad.

Beliau turut memaklumkan KBS juga akan memberi tumpuan untuk menggilap bakat atlet para yang sudah berkecimpung dalam dunia sukan pada usia muda agar lebih banyak kejayaan dapat dicipta pada masa akan datang.

Sementara itu, Ketua Kontinjen Malaysia (CDM) ke APG Solo Kolonel (B) Md Nor Azam Ariffin berkata kejayaan kontinjen negara membawa pulang 36 emas dari temasya berprestij itu merupakan tanda aras buat negara untuk melonjakkan lagi prestasi mereka selepas pandemik Covid-19.

Beliau pada masa sama turut optimis atlet para negara mampu mempersembahkan prestasi yang lebih cemerlang menjelang temasya APG ke-12 di Kemboja dan Sukan Para Asia di China tahun hadapan.

"Pencapaian ini merupakan satu tanda aras untuk kita melonjak selepas dua tahun pandemik untuk melakar lagi kejayaan di kejohanan akan datang,” katanya.

Kontinjen Malaysia yang dibarisi 70 atlet menamatkan cabaran APG ke-11 di kedudukan keempat selepas merangkul 36 pingat emas, 20 perak dan 14 gangsa secara keseluruhan pada temasya yang berlangsung bermula 30 Julai hingga semalam (Sabtu). - Bernama