Tubuhkan pasukan bomba uniti di KRT

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid (duduk, tengah) bergambar bersama penerima pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Perkhidmatan 30 Tahun di sebuah hotel, pada Ahad. - Foto Bernama
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid (duduk, tengah) bergambar bersama penerima pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Perkhidmatan 30 Tahun di sebuah hotel, pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA NERUS - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menjalin kerjasama dengan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional untuk menubuhkan pasukan bomba uniti di Kawasan Rukun Tetangga (KRT) seluruh negara.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, ia berperanan sebagai ejen kepada jabatan itu dalam menyalurkan bantuan kecemasan awal kepada komuniti setempat jika berlaku hal-hal tidak diingini sebelum ketibaan pasukan penyelamat daripada agensi yang bertauliah dan bertanggungjawab.

Beliau berkata, buat permulaan, pihaknya mengenal pasti 48 KRT untuk dilatih dengan pengetahuan dan kemahiran asas bagi menangani kecemasan di peringkat awal.

"Kita ada 200 KRT di seluruh negara yang sesuai untuk penubuhan bomba uniti tetapi atas faktor kekangan kewangan dan sebagainya, kita fokus kepada penubuhan tiga pasukan dahulu di setiap negeri.

"Bagaimanapun, bagi negeri yang berkemampuan, mereka boleh tubuhkan pasukan bomba uniti semaksimum mungkin untuk tujuan menangani kecemasan," katanya selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan 30 Tahun Perkhidmatan bagi Tahun 2021 JBPM Negeri Terengganu di sini, pada Ahad.

Seramai 55 anggota dan pegawai JBPM Terengganu menerima APC manakala 12 lagi Anugerah 30 Tahun Perkhidmatan.

Mohammad Hamdan berkata, selain kemahiran dan latihan, pasukan bomba uniti akan dibekalkan dengan peralatan asas untuk ditempatkan di KRT masing-masing.

Beliau berkata setakat ini, pihaknya telah melancarkan pasukan bomba uniti di KRT Kepala Batas, Pulau Pinang bersempena sambutan Hari Anggota Bomba 2022 pada Jun lepas.

Katanya, JBPM juga telah mengambil sejumlah 1,000 kakitangan baharu untuk diserap ke balai yang sesuai dan memerlukan bagi menampung kekosongan serta kekurangan anggota dan pegawai susulan persaraan dan sebagainya.

"Memang benar berlaku masalah kekurangan kakitangan kerana kita tidak ambil pegawai baharu sepanjang pandemik sedangkan setiap tahun, kira-kira 200 hingga 400 kakitangan pencen dan ini menyebabkan berlaku banyak kekosongan di banyak tempat," katanya. - Bernama