Malaysia antara terbanyak pencakar langit di Asia

Mohammad Hamdan (dua dari kanan) selepas hadir merasmikan Seminar Keselamatan Kebakaran 'Kesedaran Keselamatan Kebakaran, Penyelenggaraan dan Penguatkuasaan Dalam Bangunan' Peringkat Negeri Sembilan di sebuah hotel di Seremban pada Selasa.
Mohammad Hamdan (dua dari kanan) selepas hadir merasmikan Seminar Keselamatan Kebakaran 'Kesedaran Keselamatan Kebakaran, Penyelenggaraan dan Penguatkuasaan Dalam Bangunan' Peringkat Negeri Sembilan di sebuah hotel di Seremban pada Selasa.
A
A
A

SEREMBAN - Malaysia merupakan antara negara di Asia yang mempunyai banyak bangunan pencakar langit.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, data itu diperolehi melalui kajian yang dilakukan oleh satu badan swasta.

"Berdasarkan rekod pada tahun 2019 sahaja lebih 900 bangunan pencakar langit yang terdapat di negara ini dan melihat kepada perkembangan pada tahun ini pula ia telah meningkat kepada lebih 1,000.

"Tiada masalah untuk projek pembinaan bangunan pencakar langit selagi pemain industri mematuhi peruntukan undang-undang dan keperluan teknikal dengan penyelenggaran yang baik," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas hadir merasmikan Seminar Keselamatan Kebakaran 'Kesedaran Keselamatan Kebakaran, Penyelenggaraan dan Penguatkuasaan Dalam Bangunan' Peringkat Negeri Sembilan di sebuah hotel di sini pada Selasa.

Oleh sebab itu katanya, penyelenggaraan peralatan menentang kebakaran di dalam setiap bangunan adalah penting sekali gus bagi mengelak insiden yang boleh meragut nyawa penghuni bangunan.

"Orang selalu bertanya berapa tinggi tangga cakra putar yang bomba ada? Ada tak helikopter yang boleh digunakan untuk memadam kebakaran?

"Tapi sebenarnya dalam aspek kebombaan di seluruh dunia, memadam kebakaran perlu bermula dari punca bagi memastikan ia boleh dikawal sepenuhnya," katanya.

Ujarnya, penggunaan helikopter bagaimanapun diperlukan bagi tujuan tertentu seperti pengawasan, komunikasi dan penghantaran peralatan logistik.

Sementara itu katanya, bagi tahun lalu JBPM telah menerima permohonan sebanyak 21,300 pelan arkitektural dan pelan mekanikal elektrik bagi pembinaan dan pembangunan struktur baharu.

"Daripada jumlah tersebut hanya 12,355 yang telah lulus dan 8,945 gagal manakala pemeriksaan untuk tujuan kelulusan Perakuan Siap dan Pemantuhan (CCC) sebanyak 3,140 pemeriksaan yang telah dibuat dan hanya 2,803 yang telah lulus," katanya.

Mohammad Hamdan berkata, bagi bangunan yang sudah beroperasi yang diklasifikasikan sebagai premis ditetapkan di bawah Seksyen 27 Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341), sebanyak 5,785 daripada 8,450 yang mempunyai perakuan bomba yang sah dan terkini.

Dalam pada itu katanya, JBPM telah mengeluarkan sebanyak 11,881 Notis Menghapuskan Bahaya Kebakaran, daripada 9,617 buah premis yang diperiksa di seluruh negara.