PRU15: Warisan cuma fokus kawasan boleh menang

Naib Presiden Warisan, Datuk Junz Wong (enam, kiri) bergambar bersama kepimpinan Warisan Pulau Pinang selepas majlis pelancaran struktur Warisan peringkat Pulau Pinang, pada Ahad.
Naib Presiden Warisan, Datuk Junz Wong (enam, kiri) bergambar bersama kepimpinan Warisan Pulau Pinang selepas majlis pelancaran struktur Warisan peringkat Pulau Pinang, pada Ahad.
A
A
A

BUTTERWORTH - Parti Warisan (Warisan) akan memberi fokus kepada kawasan berpotensi untuk menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Naib Presidennya, Datuk Junz Wong berkata, pihaknya realistik meletakkan sebarang sasaran serta yakin dengan kualiti dan kewibawaan bakal calon diketengahkan nanti.

"Setakat ini Warisan tidak menetapkan calon dan jumlah kerusi dipertandingkan pada PRU15, namun yakin dapat memberi tentangan hebat kepada parti lawan.

"Warisan tidak takut untuk bertanding kerana kami mempunyai calon-calon hebat dan berpotensi. Dalam keadaan politik ketika ini, parti dari Sabah serta Sarawak mungkin menjadi penentu dan Warisan akan menjadi penentu itu atau 'king maker' bagi penubuhan kerajaan baharu selepas PRU15," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran struktur Warisan peringkat Pulau Pinang, pada Ahad.

Hadir sama Ketua Penyelaras Warisan bagi Semenanjung Malaysia, Dr Rajiv Bhanot dan Pengerusi Warisan Pulau Pinang, Jeff Ooi Chuan.

Tambah Junz, Warisan realistik dengan pendekatan tidak mahu bertanding di semua tempat sebaliknya hanya mahu bertanding bagi kerusi berpotensi untuk menang.

"PRU15 juga merupakan detik permulaan Parti warisan di Semenanung," katanya lagi.

Sementara itu, Dr Rajiv Bhanot berkata, fokus Warisan kini untuk menguatkan parti dan akar umbi di Sabah serta di Semenanjung.

Katanya, selain Pulau Pinang, Warisan bertapak di Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor.