PRU15: BN Sabah beri jaminan wanita diberi peluang

Raime (kanan depan) bersama barisan kepimpinan wanita BN Sabah pada majlis perasmian Pra Konvensyen Wanita BN Sabah di Kota Kinabalu.
Raime (kanan depan) bersama barisan kepimpinan wanita BN Sabah pada majlis perasmian Pra Konvensyen Wanita BN Sabah di Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Barisan Nasional (BN) Sabah beri jaminan wanita akan diberi peranan dalam parti termasuk dijadikan sebagai calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Penerangan BN Sabah, Datuk Raime Unggi berkata, komposisi wanita BN tidak pernah ditinggalkan berdasarkan 'track rekod' parti itu sejak sekian lama.

"Dalam konteks PRU hari ini sudah tentu ada calon-calon dari wanita, walaupun saya tidak boleh nyatakan berapa peratus dan dimana kerusinya tetapi sebenarnya kalau dilihat penglibatan wanita ini sentiasa dimasukkan dan dilibatkan.

"Bukan saja dilibatkan begitu saja malah dimurnikan dengan memberi peluang kepada pemimpin-pemimpin wanita untuk menjadi atau menjawat jawatan penting dari sudut pentadbiran sama ada pentadbiran parti atau kerajaan.

"Kalau kita lihat track rekod BN sudah tentu pada kali ini ada calon-calon wanita yang akan diangkat nanti untuk menjadi calon BN," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pra Konvensyen Wanita BN Sabah, di sini, pada Ahad.

Turut hadir ialah Ketua Wanita UMNO Sabah, Datuk Jainab Ahmad Ayid dan Ketua Wanita MCA Sabah, Dr Pamela Yong.

Bercakap mengenai pra konvensyen yang dihadirinya, Raime berharap ia bukan saja mengupas beberapa isu yang penting tetapi wanita BN perlu mencari pendekatan yang terbaik dalam mendekati pengundi untuk PRU15.

"Suasana politik yang begitu dinamik pada hari ini di mana kerajaan yang ada walaupun Perdana Menteri datang dari BN tetapi kerajaan yang didoniminasikan oleh parti lain yang tidak mempunyai majoriti dan hari ini pelbagai masalah yang timbul sehingga berlakunya ketidakstabilan.

"Jadi penglibatan Wanita BN bukan saja menjurus kepada soal parti tetapi untuk mendekati pengundi serta badan bukan kerajaan (NGO) yang dilihat mereka sudah sedar dan menyatakan sokongan kepada pucuk pimpinan kita," katanya.

Sehubungan itu, Raime mahu pucuk pimpinan menyusun jentera dan struktur dalam usaha mengambil alih semula tampuk pemerintahan kerajaan yang dilihat tidak begitu stabil.

"Saya berharap kekuatan jentera wanita BN Sabah ini dapat diperkukuhkan melalui pra konvensyen ini dan isu yang disuarakan diangkat ke peringkat nasional yang akan diadakan pada 14 Ogos nanti," katanya.