Padah tangkap ikan di zon larangan

Sebuah bot nelayan tempatan kelas B1 ditahan Maritim berikutan menangkap ikan pada jarak 3.2 batu nautika perairan Jeram, pada malam Sabtu.
Sebuah bot nelayan tempatan kelas B1 ditahan Maritim berikutan menangkap ikan pada jarak 3.2 batu nautika perairan Jeram, pada malam Sabtu.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas B1 yang sedang leka menangkap ikan pada jarak 3.2 batu nautika perairan Jeram di sini pada malam Sabtu.

Pengarahnya, Kepten Maritim V Siva Kumar berkata, bot itu dikesan melakukan aktiviti pencerobohan di zon larangan tangkapan ikan iaitu kurang dari lapan batu nautika pada jam 9.30 malam.

Menurutnya, aktiviti 'tarik tepi' itu berjaya dikesan radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Maritim Malaysia di Area Command Centre (ACC) Klang kira-kira jam 8.45 malam.

"Bot ronda Maritim Selangor yang sedang melakukan rondaan rutin telah diatur ke lokasi dan berjaya menahan bot nelayan tempatan kelas B1 terbabit bersama tiga lelaki warga tempatan berumur antara 35 hingga 38 tahun termasuk tekong," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Siva berkata, bot dan tiga kru serta hasil tangkapan ikan campur dianggarkan seberat 50 kilogram ditahan dan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.

Ujar beliau, pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang di kawasan perairan Malaysia khususnya di Selangor akan terus giat dilakukan bagi membanteras kesalahan seperti ini daripada berulang.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen dengan melakukan aktiviti menangkap ikan kurang dari jarak yang dibenarkan," katanya.

Beliau berkata, kerjasama daripada komuniti maritim terutama nelayan di Selangor diharap dapat terus mematuhi peraturan perikanan di negeri ini.

"Sekiranya ternampak kegiatan menyalahi undang-undang seperti ini, segera laporkan kepada Maritim Malaysia menerusi talian Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor (PUSOP) di talian 03-31760627 atau 999," katanya.