Remaja hilang dibawa arus kepala air

Pasukan bomba tiba di lokasi kejadian yang terletak sejauh 112 kilometer dari BBP Sook bagi mendapatkan maklumat mangsa dikhuatiri lemas di sungai berhampiran Borneon Timber Jalan Tulid, Sook, Keningau.
Pasukan bomba tiba di lokasi kejadian yang terletak sejauh 112 kilometer dari BBP Sook bagi mendapatkan maklumat mangsa dikhuatiri lemas di sungai berhampiran Borneon Timber Jalan Tulid, Sook, Keningau.
A
A
A

KENINGAU - Seorang remaja dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika menyeberang sungai bersama tiga lagi ahli keluarganya dalam kejadian di kawasan berhampiran Borneon Timber Jalan Tulid, Sook, dekat sini.

Kejadian dilaporkan berlaku pada 7 malam Jumaat lalu ketika mangsa, Kenn Mohd Alfiandar, 17, bersama bapanya, Mohd Alfiandar Angkorou dan adiknya, Kelfi serta seorang lagi sepupunya dikenali sebagai Jawi menyeberang sungai berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sook, Razlan Aridy berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada keesokan harinya iaitu pada jam 3.33 petang.

Katanya, sepasukan anggota bomba dikejar ke lokasi yang terletak sejauh 112 kilometer dari BBP Sook.

"Menurut laporan, bapa mangsa memaklumkan ketika kejadian mereka empat sekeluarga cuba menyeberang sungai berkenaan namun tiba-tiba berlaku kejadian kepala air.

"Tiga daripadanya termasuk bapa mangsa sempat menyelamatkan diri bagaimanapun mangsa dihanyutkan air sungai yang deras lalu hilang," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Katanya lagi, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan segera namun tidak ada sebarang penemuan sebelum disambung semula jam 7 pagi Ahad.

"Maklumat akan dikemas kini dari semasa ke semasa mengenai perkembangan SAR mangsa," katanya.