Pekerja kontrak maut dirempuh kereta ketika potong rumput

Seorang pekerja kontrak sebuah syarikat pembersihan maut selepas dirempuh kereta ketika memotong rumput di tepi jalan di Taman Selasih, di sini, pada Sabtu.
Seorang pekerja kontrak sebuah syarikat pembersihan maut selepas dirempuh kereta ketika memotong rumput di tepi jalan di Taman Selasih, di sini, pada Sabtu.
A
A
A

KULIM - Seorang pekerja kontrak sebuah syarikat pembersihan maut selepas dirempuh sebuah kereta ketika memotong rumput di tepi jalan di Taman Selasih pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, mangsa yang berusia 68 tahun itu meninggal dunia di lokasi kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa yang merupakan pekerja syarikat pembersihan ketika itu sedang memotong rumput di tepi jalan di Jalan 4 Taman Selasih dekat sini.

"Seorang lelaki warga emas yang memandu sebuah kereta jenis Proton Iswara berwarna putih pula datang dari kawasan perniagaan di Lorong 8/3 di taman perumahan sama.

"Apabila tiba di lokasi kejadian, kereta dipandu lelaki berusia 77 tahun itu hilang kawalan sebelum melanggar mangsa yang berada di kiri jalan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Mohd Redzuan berkata, siasatan mendapati pemandu kereta terbabit memiliki lesen memandu yang sah dan cukai jalan kenderaan juga masih belum tamat tempoh.

Beliau berkata, pemandu kereta terbabit kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.