Sungai Tiang juara Piala MB Kedah 2022

Sungai Tiang juara Piala Menteri Besar Kedah 2022. - Foto KFA
Sungai Tiang juara Piala Menteri Besar Kedah 2022. - Foto KFA
A
A
A

JARINGAN tunggal ketua pasukan Sungai Tiang, Abdullah Yusof berjaya membantu pasukannya muncul juara Widad K League Piala Menteri Besar Kedah 2022 selepas menumpaskan Pengkalan Kundor 1-0 di pentas akhir, pada petang Jumaat.

Gol bekas pemain pasukan DRB Hicom itu melalui satu tandukan pada minit ke-41 selepas Sungai Tiang dihadiahkan sepakan percuma mengamatkan Stadium Darul Aman, dekat sini selepas beberapa peluang keemasan dimiliki oleh mereka gagal diterjemahkan ke dalam bentuk jaringan.

Ketua jurulatih Sungai Tiang, Muhammad Zulkifli Jaafar berkata, pasukannya berdepan laluan sengit bermula di peringkat kumpulan namun atas faktor disiplin dan pemain sentiasa mengikut arahan membawa mereka ke pentas final sebelum muncul johan.

"Kami agak perlahan pada peringkat kumpulan kerana baru sahaja membentuk pasukan namun lama-kelamaan semakin serasi. Laluan Sungai Tiang tidak mudah kerana kami ditentang habis-habisan oleh lawan di semua peringkat sebelum sampai ke peringkat akhir.

"Bagi bakat-bakat muda yang berada di dalam pasukan ini, saya berharap mereka meraih pengalaman dan teruskan asah bakat pada pentas kejohanan seterusnya.

"Saya juga harap Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) akan terus menganjurkan kejohanan seperti ini setiap tahun kerana mampu menjadi medan untuk mencungkil dan mengasah bakat di peringkat akar umbi," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penyampaian hadiah di Stadium Darul Aman, pada petang Jumaat.

Pengkalan Kundor naib juara Piala Menteri Besar Kedah 2022 membawa pulang hadiah RM5,000. - Foto KFA
Pengkalan Kundor naib juara Piala Menteri Besar Kedah 2022 membawa pulang hadiah RM5,000. - Foto KFA

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Menteri Besar Kedah yang juga Presiden KFA, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan hadir sama Pengerusi Eksekutif Kumpulan Widad Business Group, Tan Sri Muhammad Ikmal Opat Abdullah serta Setiausaha KFA, Mohd Firdaus Ahmad.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Pengkalan Kundor, Dr Abdul Hadi Salleh berkata, pujian tetap diberikan kepada semua pemainnya kerana mampu memberikan saingan kepada lawan yang dibarisi ramai pemain berpengalaman.

Menurutnya, majoriti pemain pula dibarisi pemain muda dan situasi tersebut sedikit memberikan kelebihan kepada lawan namun Pengkalan Kundor masih mampu menafikan banyak peluang keemasan oleh Sungai Tiang untuk mencipta lebih banyak gol.

"Pemain Pengkalan Kundor tewas dengan pengalaman yang berguna. Satu gol menerusi satu 'set piece' yang menyebabkan pasukan kami tewas tipis 1-0 dan inilah bola sepak.

"Saya adalah jurulatih yang memberikan peluang kepada pemain-pemain muda kerana ada enam orang yang berumur bawah 20 tahun dan diberikan peluang berada di dalam pasukan ini. Bagi saya satu pencapaian sangat bagus kerana menerima pendedahan di pentas akhir," katanya.

Pasukan Sungai Tiang membawa pulang hadiah RM10,000 manakala Pengkalan Kundor pula sebanyak RM5,000 dan sebanyak 35 pasukan menyertai kejohanan ini dari seluruh Kedah yang bermula dari 3 Jun sebelum berakhir pada Jumaat.