22 tahun hilang kaki, Yusshazwan cipta sejarah tenis kerusi roda

Atlet Paralimpik Negara Abu Samah Borhan (kiri) dan Mohammad Yusshazwan (kanan) mengibarkan jalur gemilang selepas memenangi perlawanan menentang Pemain Tenis Para Indonesia Kevin Sanjaya dan Agus Fitriadi dalam acara beregu lelaki tenis berkerusi roda pada Sukan Para ASEAN 2022 Solo di Lapangan Tenis Manahan, pada Jumaat. - Foto Bernama
Atlet Paralimpik Negara Abu Samah Borhan (kiri) dan Mohammad Yusshazwan (kanan) mengibarkan jalur gemilang selepas memenangi perlawanan menentang Pemain Tenis Para Indonesia Kevin Sanjaya dan Agus Fitriadi dalam acara beregu lelaki tenis berkerusi roda pada Sukan Para ASEAN 2022 Solo di Lapangan Tenis Manahan, pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

KEHILANGAN kedua-dua belah kakinya seawal usia lima tahun kerana kanser tulang, tidak menghalang Mohammad Yusshazwan Yusuf menempuh pelbagai cabaran untuk mencipta sejarah buat Malaysia di Sukan Para ASEAN (APG), pada Jumaat.

Selepas 22 tahun sejak pergerakannya terbatas, Mohammad Yusshazwan bersama gandingannya Abu Samah Borhan melakar sejarah, dengan meraih pingat emas pertama Malaysia bagi acara tenis berkerusi roda di temasya itu.

Mereka mencipta kejayaan tersebut selepas menewaskan wakil Indonesia Kevin Sanjaya-Agus Fitriadi, 6-4, 6-3 selepas perjuangan lebih dua jam mengatasi cabaran cuaca panas di Lapangan Tenis Manahan di sini.

"Saya sangat bangga dengan pencapaian ini. Kita fokus 100 peratus sebab nak cipta sejarah, jadi hari ini kita berjaya capai kejayaan ini untuk negara dan keluarga kami,” kata Mohammad Yusshazwan, 27, kepada Bernama.

Pingat emas pada Jumaat juga, menjadi pengubat hati buat beliau, apabila terpaksa berpuas hati dengan pingat perak acara perseorangan, setelah tewas 2-6, 6-4, 6-7 selepas persaingan sengit dengan Klongrua Suthi dari Thailand pada final, Khamis.

Pencapaian terbaik Malaysia bagi acara beregu adalah perak edisi 2017 di laman sendiri menerusi Abu Samah-Ariffahmi Zaquan Ariffin, manakala Mohammad Yusshazwan- Firdaus Ibrahim meraih gangsa.

Abu Samah, juara perseorangan lelaki pada edisi lepas di Kuala Lumpur, berkata perlawanan hari ini tidak mudah kerana terpaksa berdepan lawan yang kuat, ditambah dengan kelebihan beraksi di laman sendiri.

"Sebelum ini kami dah pernah menang perak dan gangsa, jadi hari ini kami turun dengan tekad mahu emas, dan berjaya dalam misi itu,” kata pemain berusia 37 tahun yang terpaksa bergantung pada kerusi roda selepas kecederaan tulang belakang (spinal cord) selepas kemalangan jalan raya pada 2006.

Sementara itu, Jennahtul Fahmi Ahmad Jennah muncul juara acara ping pong perseorangan lelaki Kelas 11 (masalah intelektual), selepas mengatasi rakan senegara Mohd Hazlin Abdullah 11-6, 12-10, 12-10 pada aksi final yang sengit di sini.

"Perlawanan tadi cabaran memang sangat sengit, mungkin saya agak bernasib baik untuk menang. Memang selalunya perlawanan di antara kami sengit, tak boleh main-main, kalau silap sikit pun akan kalah walaupun dah mendahului.

"Bersyukur dapat mempamerkan aksi yang baik hari ini. Pingat emas ini untuk keluarga saya yang sentiasa memberikan semangat. Selepas ini saya akan membuat persediaan untuk APG Kemboja dan Sukan Para Asia,” katanya.

Dalam pada itu, kem negara meneruskan renangan cemerlang di Pusat Renang Jatidiri, Semarang apabila menambah dua lagi koleksi emas dan sebutir perak.

Muhammad Nur Syaiful Zulkafli muncul juara 100m gaya bebas lelaki S5 (kecacatan fizikal) dengan catatan satu minit dan 17.060s, Abd Halim Mohammad (34.820s) ungguli acara 50m kuak dada lelaki SB8 (kecacatan fizikal), manakala perak disumbangkan oleh Carmen Lim (36.730s) bagi acara 50m gaya bebas wanita S8 (kecacatan fizikal). - Bernama