Lelaki menyamar wakil syarikat larikan wang

Tangkap layar dari rakaman kamera litar tertutup di sebuah premis menunjukkan suspek menyamar sebagai wakil syarikat mengutip wang jualan ketika pengurus tiada, dalam kejadian di Slim River. - Foto ihsan pembaca
Tangkap layar dari rakaman kamera litar tertutup di sebuah premis menunjukkan suspek menyamar sebagai wakil syarikat mengutip wang jualan ketika pengurus tiada, dalam kejadian di Slim River. - Foto ihsan pembaca
A
A
A

TANJUNG MALIM - Polis giat mengesan seorang lelaki yang didapati menyamar menjadi pegawai bank serta wakil syarikat untuk melarikan wang hasil jualan milik mangsa sekitar daerah Muallim di sini.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, empat laporan membabitkan kerugian sebanyak RM9,250 diterima disyaki melibatkan suspek yang dianggarkan berusia antara 30-an dan 40-an itu.

"Modus operandinya sama apabila suspek memperkenalkan diri sebagai wakil syarikat atau pegawai bank kepada pekerja di kaunter dan bertanyakan keberadaan pengurus kedai ketika itu.

"Setelah mengetahui tiada, suspek memaklumkan kepada pekerja bahawa pengurus kedai mewakilkannya untuk mengutip hasil jualan di premis tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Menurutnya, suspek akan bergegas keluar dari premis setelah menerima wang jualan terbabit.

"Maklumat yang diperolehi mendapati suspek aktif menjalankan penipuan di sekitar Tanjung Malim dan Slim River sejak Januari lalu.

"Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan," katanya.

Beliau turut mengingatkan orang awam untuk peka dengan kaedah penyamaran itu dan melaporkan sebarang kegiatan jenayah dengan menghubungi Bilik Gerakan 24 jam di talian 05-4526999.