'Penangguhan pemilihan peluang susun strategi PRU15'

Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd Hairi Mad Shah melihat cara-cara pembuatan kek selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Minggu Belia Kejora 2022 di Bandar Penawar, Kota Tinggi, pada Jumaat.
Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd Hairi Mad Shah melihat cara-cara pembuatan kek selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Minggu Belia Kejora 2022 di Bandar Penawar, Kota Tinggi, pada Jumaat.
A
A
A

KOTA TINGGI - Penangguhan pemilihan UMNO perlu diambil peluang oleh semua pihak dalam parti untuk mengukuh perpaduan dan menyusun strategi berkesan dalam usaha memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, kesempatan dan peluang tersebut perlu digunakan sebaiknya dengan merapatkan saf serta memberi tumpuan penuh terhadap usaha memenangi PRU15.

"Penangguhan ini satu yang baik untuk UMNO. Selepas PRU15 nanti baru kita fikir mengenai proses pemilihan UMNO secara sihat apabila kedudukan stabil selepas menang PRU15. Insya-ALLAH," katanya selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Minggu Belia Kejora 2022 di Bandar Penawar, pada Jumaat.

Pada 28 Julai lalu, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) meluluskan permohonan berkaitan perlembagaan UMNO dengan sedikit pindaan untuk menangguhkan pemilihan parti berkuat kuasa 29 Julai.

Mohd Hairi yang juga Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor berkata, penangguhan itu juga bagi mengelak berlakunya perkara-perkara yang boleh menjejaskan persediaan parti menghadapi PRU15 yang dikhuatiri melemahkan UMNO.

Sementara itu, beliau berkata, kadar pengangguran di Johor semakin menunjukkan penurunan terutama pada suku pertama tahun ini yang mencatatkan 3.2 peratus berbanding suku pertama tahun lalu iaitu 3.9 peratus.

"Bilangan penganggur di Johor pada suku pertama tahun 2022 adalah seramai 58,600 orang,berkurang 12,200 berbanding 70,800 orang penganggur pada suku pertama tahun 2021," katanya.

Dalam pada itu, ketika berucap beliau memberitahu, terdapat hampir dua juta belia berumur 15 hingga 40 tahun di negeri itu.

"Sememangnya angka ini sangat signifikan sekali gus mempengaruhi setiap perancangan pembangunan negara dan negeri khasnya. Oleh itu, aspirasi dan pandangan belia penting bagi kerajaan negeri merangka hala tuju strategik untuk pembangunan pada masa depan," katanya.

Menurutnya, kerajaan Johor merencanakan pelbagai program untuk belia antaranya mewujudkan Sekolah Kepimpinan Belia Negeri Johor, merangka Pelan Millenial Johor, memperkasakan pasukan sukarelawan Southern Volunteers (SV) dan Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC).