'Kenyataan Wan Rosdy kelirukan rakyat'

Laporan Sinar Harian (Gambar kecil: Chin Chen)
Laporan Sinar Harian (Gambar kecil: Chin Chen)
A
A
A

KUANTAN - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bilut, Lee Chin Chen mendakwa Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebagai tidak jujur dan tidak telus dengan status projek pembinaan Lapangan Terbang Kuantan yang bermula tahun hadapan.

Beliau menyifatkan kenyataan pemimpin nombor satu Pahang itu mengelirukan rakyat khususnya, mengenai situasi sebenar projek pembinaan lapangan terbang ini.

“Saya kecewa dengan sikap dan kenyataan itu dan sebagai Menteri Besar (MB), Wan Rosdy sepatutnya bersikap jujur, telus dan berterus terang, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan projek mega yang bernilai bilion ringgit. Ia bukan sesuatu perkara yang boleh diambil ringan dengan memberikan jaminan dan kata-kata yang tidak pasti dan tidak tepat.

“Saya hairan mengapa Menteri Besar Pahang (Wan Rosdy) telah mengeluarkan satu kenyataan yang mengelirukan dan bercanggah dengan situasi sebenar pada Julai lalu. Di manakah integriti beliau sebagai seorang Menteri Besar?" katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pada Khamis, Wan Rosdy memaklumkan kerajaan Pahang akan memastikan semua syarat dan prosedur yang ditetapkan kerajaan Persekutuan dipatuhi dalam usaha merealisasikan pelaksanaan projek pembangunan Bandar Aeroangkasa Pahang, yang melibatkan komponen pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan dan projek bercampur.

Wan Rosdy, bersetuju kajian komprehensif terhadap cadangan pembinaan Bandar Aeroangkasa ini dilaksanakan dan perkara itu telah diputuskan melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) pada 15 Julai lalu.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Chin Chen mempersoal bagaimana Wan Rosdy boleh mengeluarkan satu kenyataan yang begitu pasti mengenai status projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan di Gebeng, Kuantan akan bermula pada tahun hadapan dan lapangan terbang ini bakal beroperasi pada tahun 2026 pada 6 Julai lalu.

"Sedangkan pada Rabu lalu, ketika beliau (MB) menjawab soalan yang diajukan oleh Ahli Parlimen Seremban, Loke Siew Fook, Menteri Pengangkutan, W​ee Ka Siong telah menyatakan bahawa pembinaan lapangan terbang ini masih lagi belum menerima kelulusan dari pihak kerajaan Persekutuan.

“Bagaimana beliau begitu yakin bahawa dokumen dan laporan yang bakal dihantar nanti akan memenuhi kriteria dan tidak akan ditolak oleh pihak kerajaan Persekutuan? Melalui jawapan yang telah diberikan oleh Menteri Pengangkutan dan kenyataan Menteri Besar Pahang sendiri, apakah jaminan projek pembinaan lapangan terbang ini akan mula dijalankan pada tahun hadapan dan siap seperti yang dirancang?” soalnya.

Justeru, beliau berharap, Menteri Besar Pahang mesti jujur dan telus apabila mengeluarkan kenyataan berkaitan dengan isu ini.

"Ini kerana pembinaan lapangan terbang ini juga bakal menelan belanja sebanyak RM2 billion. Selain membuka banyak peluang pelaburan dan peluang pekerjaan kepada penduduk sekitar dan menjana ekonomi negeri serta ekonomi negara," jelasnya.