Bot terbakar, 20 nelayan Laos terselamat

Bot membawa 20 nelayan terbakar di perairan Kuala Endau, berhampiran Mersing pada malam Khamis.
Bot membawa 20 nelayan terbakar di perairan Kuala Endau, berhampiran Mersing pada malam Khamis.
A
A
A

MERSING - Seramai 20 nelayan warga Laos terselamat selepas bot dinaiki mereka terbakar di perairan Kuala Endau, dekat sini pada malam Khamis.

Pengarah Zon Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Mersing, Komander Maritim Khairul Nizam Misran berkata, kejadian tersebut berlaku pada jam 9.30 malam.

"Pihaknya memaklumkan kepada Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru berkenaan sebuah bot yang terbakar pada kedudukan 13.7 batu nautika timur laut Kuala Endau.

"Zon Maritim Mersing telah mengatur gerak bot ronda kelas Perkasa ke lokasi kejadian dan mendapati kesemua 20 mangsa telah diselamatkan terlebih dahulu oleh bot nelayan tempatan yang berada berhampiran lokasi bot terbakar.

"Kesemua 20 mangsa lelaki warga Laos yang terselamat tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, semua mangsa tersebut merupakan pekerja yang sah dan mempunyai pengenalan diri.

"Mereka seterusnya dibawa ke Pos Maritim Teluk Gading sebelum diserahkan kepada majikan mereka untuk tindakan selanjutnya.

"Menurut semua mangsa, kejadian dipercayai berpunca dari kebakaran di bahagian enjin sebelum merebak ke semua bahagian bot," katanya.