[VIDEO] Batal segera pertukaran 9 anggota polis ke Sabah, Sarawak

Laporan Sinar Harian. (Abdul Hisham)
Laporan Sinar Harian. (Abdul Hisham)
A
A
A

KOTA KINABALU - Pas Sabah meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) membatalkan serta-merta keputusan memindahkan sembilan anggota polis yang disiasat berkaitan dengan kes peras ugut ke Sabah dan Sarawak.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Sabah, Abdul Hisham Othman berkata, Pas Sabah juga turut menasihatkan pegawai yang membuat keputusan itu supaya lebih berhati-hati dalam sebarang keputusan pada masa hadapan.

"Saya ingin menegaskan bahawa setiap salah laku pegawai dan anggota pasukan PDRM apatah lagi yang melibatkan kesalahan jenayah harus dikenakan pertuduhan di mahkamah selepas siasatan yang menyeluruh dilakukan.

"Mereka yang terlibat mestilah dituduh dan diadili oleh mahkamah serta sekiranya disabit kesalahan mesti dijatuh hukuman yang setimpal mengikut peruntukan dalam undang-undang negara.

"Sementara menanti disabitkan kesalahan, mereka mesti digantung dari menjalankan apa-apa tugasan dan dipastikan bahawa mereka tidak akan mengganggu saksi pendakwaan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Yang Dipertua Pas Keningau itu turut berkata, tiada sebarang keistimewaan atau pendakwaan terpilih kepada mana-mana pegawai atau anggota pasukan keselamatan.

"Memandangkan mereka merupakan sebuah badan yang bertanggungjawab melindungi orang awam dan mempertahankan kedaulatan undang-undang sebagaimana termaktub dalam Rukun Negara," katanya.