Agong bantu sekolah agama terkesan banjir di Baling

Sumbangan disampaikan Mohamed Zahari kepada pengetua sekolah, Abdul Rahman pada Khamis. - Foto Facebook Istana Negara
Sumbangan disampaikan Mohamed Zahari kepada pengetua sekolah, Abdul Rahman pada Khamis. - Foto Facebook Istana Negara
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan sumbangan kepada Sekolah Menengah Agama (Arab) Yayasan Al-Kahriah, Baling, Kedah yang terkesan akibat banjir baru-baru ini.

Menurut perkongsian di laman Facebook Istana Negara, sumbangan itu disampaikan Juruiring Tentera Udara Seri Paduka yang juga Pengarah Operasi Pasukan Bencana Istana Negara, Brigadier Jeneral Datuk Mohamed Zahari Yahya kepada pengetua sekolah berkenaan, Abdul Rahman Yahya pada Khamis.

"Seri Paduka menzahirkan harapan semoga kurniaan itu dapat membantu mengurangkan beban pelajar-pelajar sekolah tersebut,” menurut catatan itu.

Turut hadir pada majlis penyerahan sumbangan ialah Pemangku Timbalan Ketua Polis Daerah Baling, Asisten Superintendan Yazid Yahya dan Penolong Pengurus Bantuan Kemanusiaan, Komuniti dan Pembangunan Negara Yayasan TM, Nuraini Ishak.

Sekolah Menengah Agama (Arab) Yayasan Al-Kahriah yang terkesan akibat banjir baru-baru ini. - Foto Facebook Istana Negara
Sekolah Menengah Agama (Arab) Yayasan Al-Kahriah yang terkesan akibat banjir baru-baru ini. - Foto Facebook Istana Negara

Sebelum ini, Pasukan Bantuan Bencana Istana Negara dan Pasukan Telekom Malaysia Reaching Out Volunteers (TMRovers) turut membantu melakukan kerja pembersihan di sekolah itu serta beberapa kawasan yang terkesan banjir. - Bernama