Angkara isteri kaki pukul, suami sengsara

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SEBELUM ini masyarakat banyak mendengar kes keganasan rumah tangga melibatkan penderaan isteri ke atas suami.

Namun, kes perbicaraan saman fitnah bekas pasangan pelakon popular Hollywood, Johnny Depp dan Amber Heard baru-baru ini, membuka mata masyarakat bahawa kaum suami juga turut menjadi mangsa dera isteri.

Dek sifat malu dan khuatir diri ditertawakan, ramai mangsa tidak tampil membuat laporan serta tidak berkongsi masalah yang dihadapi dengan pihak sepatutnya.

Selain itu, ada antara bapa yang sanggup berkorban menanggung sengsara dipukul dan dibelasah isteri selama bertahun-tahun kerana sayangkan anak-anak dan tidak mahu rumah tangga runtuh.

Ikuti pembongkaran kes penderaan yang melibatkan kaum suami oleh wartawan Sinar Harian, RAIHAM MOHD SANUSI.


SHAH ALAM - Pengasas Bersama Persatuan Hak Bapa Malaysia, Sheikh Faleigh Sheikh Mansor mendedahkan ramai kaum suami di negara ini menjadi mangsa dera isteri hingga menanggung sengsara yang berpanjangan.

Saheikh Faleigh
Saheikh Faleigh

Katanya, penderaan dialami bukan sahaja dari segi fizikal tetapi yang lebih teruk adalah mental termasuk sering dihina, dikawal isteri hingga tidak dibenarkan berjumpa ibu bapa sendiri, selain terpaksa memberi wang belanja lebih daripada kemampuan.

“Keganasan rumah tangga terhadap golongan suami berlaku tanpa mengira kaum dan agama. Kebanyakannya ialah golongan M40 ke atas.

“Ada antara mereka bukan sahaja ditampar, dipukul dan dibelasah, malah sering diterajang hingga alami kecederaan,” katanya.

Sheikh Faleigh menjelaskan, kes penderaan fizikal terhadap si suami banyak berlaku terutama apabila pasangan berkenaan tinggal di rumah keluarga isteri.

Menurutnya, ia disebabkan si isteri merasakan keselamatan diri terjamin walaupun bertindak kasar kerana dikelilingi ayah, abang atau adik-adik lelaki yang sudah dewasa serta boleh mempertahankan diri sekiranya sang suami melawan.

“Sebab itu, isteri bersikap besar kepala hingga ada yang selalu tampar suami di depan ahli keluarga yang lain.

“Kes penderaan juga banyak berlaku membabitkan pasangan yang tinggal di rumah sendiri.

“Majoriti kes, ada antaranya saiz fizikal isteri lebih besar daripada suami,” ujarnya.

Sheikh Faleigh berkata, segelintir suami juga tidak melawan apabila diperlakukan kasar kerana memikirkan keselamatan anak-anak berikutan diugut dengan perkataan ‘bunuh diri’.

Pinda aktaTegasnya, kerajaan perlu meminda Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Penceraian) 1976.

“Pada tahun lalu, Persatuan Hak Bapa Malaysia mengusul pindaan akta ini kepada Parlimen tetapi tiada tindakan,” katanya.

Mereka yang ingin mendapatkan bantuan boleh menghubungi Sheikh Faleigh di talian 016-263 1293 atau layari Facebook Persatuan Hak Bapa Malaysia.

Memang ada kes isteri dera suami - PGSM

Dalam pada itu, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) mengesahkan wujud laporan kes suami didera isteri dengan purata lima hingga 10 kes setahun.

Presiden PGSM, Musa Awang berkata, jumlah tersebut lebih rendah berbanding kes suami memukul isteri.

Musa
Musa

Menurutnya, ia berkemungkinan kerana bagi lelaki, situasi itu memalukan dan menjatuhkan maruah mereka.

“Antara kes yang paling teruk pernah dilaporkan adalah suami dibelasah isteri dengan batang penyapu hingga alami kecederaan,” ujarnya kepada Sinar Harian.

Musa memberitahu, bagi membantu para suami yang didera dan teraniaya, PGSM lazimnya menasihatkan untuk membuat laporan polis kerana Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 terpakai terhadap golongan lelaki.

“Mereka perlu bertindak segera dan boleh memilih untuk membuat laporan polis atau memohon perintah injunksi interim dari mahkamah.

“Mereka juga ada pilihan untuk failkan tuntutan nusyuz terhadap isteri atau memohon perceraian,” tegasnya.