CCOB pelawa maklum balas cadangan gubal Akta Kredit Pengguna

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pasukan Petugas Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna (CCOB) kini dalam proses mendapatkan maklum balas mengenai rangka kerja kawal selia dan pemberikuasaan berhubung cadangan penggubalan Akta Kredit Pengguna (CCA).

Maklum balas itu turut membabitkan bidang-bidang yang akan terangkum dalam perundangan tersebut bagi menggalakkan standard profesionalisme tinggi serta amalan adil oleh penyedia kredit dan penyedia perkhidmatan kredit.

Dalam satu kenyataan bersama pada Khamis, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, ini akan disusuli oleh Bahagian 2 kertas perundingan dijadual diterbitkan pada suku keempat 2022.

Bahagian tersebut memberi butiran lanjut mengenai pemberikuasaan, tadbir urus dan keperluan amalan yang akan diguna pakai ke atas penyedia kredit dan penyedia perkhidmatan kredit terbabit.

Menurut SC dan BNM, akta yang bertujuan memperkukuh perlindungan pengguna kredit di negara ini, akan turut membuka jalan bagi penubuhan Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna sebagai pihak berkuasa berwibawa bebas untuk memantau penyedia kredit pengguna dan penyedia perkhidmatan kredit.

"CCA akan m3enyediakan rangka kerja komprehensif untuk mengawal selia amalan entiti yang menjalankan perniagaan menyediakan kredit atau perkhidmatan kredit kepada pengguna dengan tumpuan khas terhadap entiti yang tidak dikawal selia oleh mana-mana pihak berkuasa pada masa ini.

"Ini termasuk pengawalseliaan kredit dalam bentuk baharu seperti penyedia perkhidmatan "Beli Sekarang Bayar Kemudian," kata kedua-dua pihak pengawal selia itu.

Perundingan awam tersebut adalah yang pertama daripada dua bahagian yang memberi gambaran keseluruhan mengenai landskap semasa industri kredit pengguna di Malaysia, cabaran serta cadangan pembaharuan untuk meningkatkan perlindungan terhadap individu dan perniagaan kecil dalam urusan dengan penyedia kredit dan penyedia perkhidmatan kredit.

Menurut SC dan BNM, pembaharuan tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat di bawah cadangan program berbilang tahun untuk menyediakan standard perlindungan yang konsisten kepada pengguna kredit dan menyokong pembangunan industri kredit yang teratur di Malaysia.

Kertas perundingan awam tersebut boleh dimuat turun melalui laman sesawang CCOB (www.ccob.my) yang turut menjadi pusat rujukan sehenti untuk semua pihak berkepentingan mendapatkan maklumat dan makluman terkini berkaitan CCA dan CCOB.

Sehubungan itu, pihak yang berminat termasuk orang ramai dipelawa memberi maklum balas serta ulasan mengenai kertas perundingan tersebut kepada Pasukan Petugas CCOB selewat-lewatnya 5 Sept, 2022 menerusi e-mel kepada CCAConsultation@bnm.gov.my.

Pasukan Petugas CCOB itu ditubuhkan pada Julai 2021 dan diketuai oleh Kementerian Kewangan, BNM dan SC untuk memacu penggubalan CCA.

Usaha berkenaan juga adalah menerusi kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia. - Bernama