Kipre mahu bawa TFC ke final Piala FA

Kipre Tchetche bersama pemain TFC. - Foto Terengganu FC
Kipre Tchetche bersama pemain TFC. - Foto Terengganu FC
A
A
A

PENYERANG import Terengganu FC (TFC), Kipre Tchetche berazam untuk membawa skuad Penyu mara ke perlawanan akhir Piala FA musim ini.

Ia bagi menebus kekecewaan beliau yang gagal membantu skuad Penyu mara ke peringkat separuh akhir selepas tewas 1-4 kepada pasukan Pahang dalam saingan Piala FA musim 2019.

Tchetche berharap agar dapat diturunkan untuk beraksi pada perlawanan separuh akhir Piala FA menentang Selangor FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) Sabtu ini.

"Saya masih ingat masa kami kalah kepada Pahang dalam suku akhir Piala FA.

Kekecewaan dan kehampaan itu amat menyakitkan.

”Bagaimanapun kali ini kami sudah menghampiri ke final.

Jadi kami akan memberikan yang terbaik semampu boleh terutamanya buat peminat-peminat," kata pemain penyerang TFC itu.

Tchetche berkata, walaupun menyedari tugas itu bukan mudah kerana bakal berdepan dengan pasukan gergasi bola sepak negara, ia juga bukan misi mustahil buat skuad Penyu.

Malah cabaran itu katanya, dapat diatasi dengan disiplin tinggi, semangat berpasukan dan sokongan tidak berbelah bahagi daripada penyokong pasukan Hitam Putih.

"Selangor juga salah sebuah pasukan yang terkemuka tetapi saya percaya sokongan peminat akan memberikan kami lebih motivasi untuk memenangi perlawanan ini.

"Kami selalu mendapat keputusan yang baik bila bermain di tempat sendiri... ia memberikan suatu kelegaan.

Saya berharap tuah berada di pihak kami Sabtu ini... sering-seringlah berdoa untuk kejayaan itu," katanya. - Bernama

PIALA FA

Separuh Akhir

JUMAAT ( 5 OGOS)

JDT lwn Penang FC

(Std Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, 9 mlm)

SABTU (6 OGOS)

TFC lwn Selangor FC

(Std Sultan Mizan Zainal Abidin, 9 mlm)