Projek LCS: Rafizi dakwa RM890 juta dana diseleweng

Projek LCS bernilai RM9.128 bilion dianugerahkan kepada BNS oleh kerajaan melalui Kementerian Pertahanan pada tahun 2011 dengan sejumlah RM6 bilion sudah dibayar bagi tujuan pembinaan keenam-enam kapal berkenaan secara serentak. (Gambar kecil: Rafizi Ramli)
Projek LCS bernilai RM9.128 bilion dianugerahkan kepada BNS oleh kerajaan melalui Kementerian Pertahanan pada tahun 2011 dengan sejumlah RM6 bilion sudah dibayar bagi tujuan pembinaan keenam-enam kapal berkenaan secara serentak. (Gambar kecil: Rafizi Ramli)
A
A
A

SHAH ALAM - Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli mendakwa sekurang-kurangnya sebanyak RM890 juta dana telah diselewengkan daripada pengendalian projek kapal tempur pesisir pantai (LCS) yang bermula pada 2011 itu.

Katanya, penyelewengan itu antaranya membabitkan tindakan penipuan melalui wang yang dipindahkan kepada pihak yang bertujuan menipu kontrak dan duplikasi kontrak dengan tuntutan berganda.

Jumlah penyelewengan dana itu menurut beliau telah dikenal pasti melalui siasatan dalaman dijalankan terhadap projek tersebut yang setakat tahun ini telah menelan belanja RM6 bilion meskipun tidak ada satu kapal perang berjaya disiapkan.

Susulan daripada itu, beliau mempersoalkan sikap Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang berdiam diri dan tidak mengambil tindakan menangani penemuan penyelewengan berkenaan.

“Saya percaya siasatan dalaman ini telah sampai kepada Hishammuddin. Sebagai menteri yang menandatangani kontrak dalam tahun 2014, beliau juga Menteri (Pertahanan)yang menandatangani perjanjian tambahan pada 31 Mei 2022 untuk menghidupkan kembali projek ini.

“Sebagai Menteri Pertahanan yang paling lama menguruskan projek ini, beliau sudah tentu tahu tentang segala laporan dalaman mengenai penyelewengan projek ini.

“Kenapa sehingga sekarang beliau tidak mengambil tindakan untuk menangani penemuan penyelewengan berjumlah RM890 juta itu kerana tidak ada satu kes pun yang dibawa terhadap pihak yang dinamakan terlibat di dalam penyelewengan tersebut?” soal beliau dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, antara pemimpin terlibat dalam projek tersebut ialah Menteri Pertahanan pada tahun 2011 iaitu Datuk Seri Dr Ahmad zahid Hamidi yang bertanggungjawab mengeluarkan Surat Lantikan kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) untuk membina dan membekalkan enam ‘second generation patrol vessels’ (SGPV) LCS dengan jumlah kontrak RM9 bilion.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Kerajaan Persekutuan juga menandatangani kontrak akhir berjumlah RM9 bilion bersama BNS pada 17 Julai 2014 dengan Hishamuddin sebagai Menteri Pertahanan ketika itu merupakan pihak yang merundingkan perkara tersebut.

Rafizi berkata, Perdana Menteri pada ketika LOA dan kontrak projek itu diselesaikan ialah Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bekas Ahli Parlimen Pandan itu berkata, beliau akan terus mendedahkan maklumat terperinci berkenaan penyelewengan itu satu persatu sehingga ketiga-tiga pemimpin terbabit tampil memberikan penjelasan.

“Skandal kapal perang terbengkalai ini berlaku di bawah pengawasan dan pengurusan mereka, wajiblah mereka tampil menjelaskan kepada rakyat,” jelasnya.

Pada masa sama, Rafizi berkata, penyelewengan LCS itu dilihat lebih kritikal berbanding skandal lain pernah berlaku kerana memberikan kesan yang pelbagai dimensi termasuk antaranya membabitkan kebajikan perajurit dan sistem pertahanan negara.

Projek LCS bernilai RM9.128 bilion dianugerahkan kepada BNS oleh kerajaan melalui Kementerian Pertahanan pada tahun 2011 dan sejumlah RM6 bilion sudah dibayar bagi tujuan pembinaan keenam-enam kapal berkenaan secara serentak.

Bagaimanapun, hingga kini tiada satu pun LCS yang disiapkan dan diserah kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), walaupun perjanjian kontrak pada Januari 2014 menggariskan bahawa LCS 1 iaitu dua buah kapal pertama sepatutnya diserahkan kepada kerajaan pada April 2019.