Tiada pampasan ceroboh tanah kerajaan

Saarani (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada veteran tentera yang hadir ke Program Saarani Bersama Bekas Askar (Seberkas) Parlimen Tapah di Dewan Merdeka Tapah pada Khamis.
Saarani (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada veteran tentera yang hadir ke Program Saarani Bersama Bekas Askar (Seberkas) Parlimen Tapah di Dewan Merdeka Tapah pada Khamis.
A
A
A

TAPAH - Kerajaan Perak tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kerugian dialami mana-mana pihak akibat penerokaan tanah secara tidak sah.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sebarang bentuk pembangunan atau usaha yang ingin dijalankan di atas tanah di negeri ini perlu dipastikan dahulu pemiliknya bagi mengelak sebarang masalah.

Menurutnya, kerajaan negeri tidak boleh memberikan sebarang pampasan jika berlaku tindakan penguatkuasaan ke atas tanah yang diteroka secara tidak sah.

"Walaupun kita rakyat Perak, kita tidak boleh sewenang-sewenangnya masuk tanah kerajaan. Tanah kerajaan ini, anda perlu mohon sebelum buat rumah cucuk tanam, kena mohon di pejabat tanah, isi borang tanah dan akan melalui proses biasa.

"Sesiapa sahaja yang bercucuk tanam guna tanah kerajaan tanpa kebenaran ia ada risiko untuk menanggung kerugian apabila kerajaan hendak balik atau pemilik tanah hendak balik, dia terpaksa pergi," katanya kepada pemberita selepas hadir ke Program Saarani Bersama Bekas Askar (Seberkas) Parlimen Tapah di Dewan Merdeka Tapah di sini pada Khamis.

Hadir sama, Panglima Markas 2 Briged, Brigedier Jeneral Mohd Azmurin Mat Khalib dan Yang Dipertua Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Perak, Leftenan Kolonel (B) Aminuddin Abd Karim.

Sementara itu, mengulas mengenai isu dakwaan seorang penduduk di Kampung Parit 2, Air Deras Sungai Tukang Sidin, Langkap yang diusir dari kediamannya baru-baru ini, Saarani menjelaskan, tanah berkenaan bukan berstatus Tanah Rizab Melayu seperti didakwa.

Menurutnya, tanah seluas 25.6 hektar itu pada asalnya milik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) sebelum dijual kepada sebuah syarikat pada tahun 2015.

Katanya, tawaran penjualan tanah tersebut telah dibuat pada tahun 2014 kepada syarikat swasta berkenaan.

Pada 29 Julai lalu, sebuah akhbar melaporkan rumah seorang pesara tentera di Kampung Parit 2, Air Deras Sungai Tukang Sidin, Langkap terpaksa dirobohkan setelah tanah tersebut dijual kepada sebuah syarikat.