Program Asasi Sains UMK dapat sambutan menggalakkan

Pengambilan Program Asasi Sains UMK bagi kemasukan Sesi Akademik 2022/2023 di Kampus Jeli pada Ahad lalu.
Pengambilan Program Asasi Sains UMK bagi kemasukan Sesi Akademik 2022/2023 di Kampus Jeli pada Ahad lalu.
A
A
A

JELI - Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menerima 257 penuntut yang mendaftar bagi Program Asasi Sains bagi kemasukan Sesi Akademik 2022/2023 di Kampus Jeli, di sini, pada Ahad lalu.

Ketua Jabatan Persediaan Sains UMK, Dr Marinah Muhammad berkata, jumlah tersebut adalah daripada 1,112 permohonan melibatkan pelajar lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mengikuti Program Asasi Sains di UMK pada tahun ini.

Katanya, permohonan itu meningkat 100 peratus berbanding tahun 2021 dan UMK juga memberi peluang kepada lebih ramai lepasan SPM bagi mengikuti program berkenaan.

"Unjuran yang disasarkan oleh UMK dapat dicapai dan sambutan amat memberangsangkan diterima pada tahun ini.

“UMK juga merancang untuk menambah lagi unjuran ambilan pelajar pada tahun hadapan untuk memberi peluang lebih ramai pelajar SPM dapat mengikuti program Asasi Sains ini,” katanya dalam satu kenyataan akhbar, di sini, pada Khamis.

Dr Marinah berkata, program Asasi Sains UMK asalnya adalah Program Persediaan Keusahawanan Sains UMK yang dijalankan di Kolej Majlis Amanah Rakyat (MARA) Kulim pada tahun 2011 hingga 2019.

Katanya, program Asasi Sains UMK mula ditawarkan pada tahun 2021 di UMK Kampus Jeli bertujuan lebih ramai pelajar yang berpengetahuan sains dan mempunyai kemahiran keusahawanan yang tinggi dapat dilahirkan.

Pelajar lulusan SPM mendaftar untuk mengikut Program Asasi Sains UMK.
Pelajar lulusan SPM mendaftar untuk mengikut Program Asasi Sains UMK.

"Program Asasi Sains UMK merupakan program unik yang mampu melahirkan penuntut berpengetahuan dalam bidang sains serta mempunyai kemahiran tinggi dalam bidang keusahawanan serta kurikulum melalui pendekatan pengajaran yang berbeza.

“Berdasarkan gabungan mantap subjek sains dan subjek keusahawanan, penuntut akan dapat memenuhi keperluan untuk diserapkan ke dalam program Ijazah Sarjana Muda bidang sains dan veterinar di UMK,” katanya.

Tambah beliau, penuntut yang mengikuti program ini akan mendapat pendedahan awal tentang pembelajaran dalam ekosistem keusahawanan di UMK seawal pengajian pada peringkat persediaan.

“Program Asasi Sains UMK tersenarai sebagai paling popular di Malaysia berdasarkan bilangan permohonan,” katanya.