Pahang pantau sekolah pondok elak polemik tidak sihat

Asmadi
Asmadi
A
A
A

KUANTAN - Sekolah pondok yang dilabelkan berfahaman ekstremis adalah polemik yang tidak sihat dan boleh menjejaskan reputasi pusat pengajian agama itu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip), Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, sebaliknya institusi pengajian Islam sering dipantau dari aspek akademik, kokurikulum, keselamatan dan sahsiah mereka.

“Tidak timbul isu menyebarkan fahaman ekstremis warga pondok dan tuduhan itu seperti menjejaskan reputasi pengajian agama.

“Padahal,kita memantau sistem pengajian sekolah pondok agar ia setanding dengan sekolah aliran kerajaan,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Khamis.

Sebelum ini, Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN), Prof. Emeritus Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid mengeluarkan kenyataan bahawa 400 sekolah pondok dilihat berpotensi menjadi pusat penyebaran fahaman ekstremisme membabitkan tenaga pengajar dan pelajar.

Asmadi menjelaskan terdapat 110 pusat tahfiz dan pondok berdaftar di Pahang dan sebanyak 69 pusat lagi dalam proses pendaftaran.

Tambahnya, sukatan mata pelajaran dan kokurikulum dipantau pegawai penilaian yang dilantik agensi terlibat di negeri ini.

“Kita (Pahang) ada kumpulan penaziran yang akan menjalankan pemantauan di sekolah pondok dan pusat tahfiz.

“Malah, tenaga pengajar pondok perlu mendapat tauliah mengajar,” ujarnya yang memaklumkan aspek keselamatan bangunan dipantau sepenuhnya boleh pihak bomba.