Nasib 4 ADUN Pulau Pinang keluar parti ditentukan Jumaat ini

Kon Yeow
Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Nasib keempat-empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang yang keluar daripada Pakatan Harapan (PH) dan menyertai Perikatan Nasional (PN) akan ditentukan pada Jumaat ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pulau Pinang pada 5 Ogos ini.

Menurutnya, perkara itu akan dibincangkan selepas Mahkamah Persekutuan memutuskan undang-undang tubuh negeri menghalang lompat parti menepati Perlembagaan Persekutuan.

"Kita akan bincang tindakan seterusnya dalam Mesyuarat Exco Pulau Pinang pada Jumaat ini.

"Keputusan tersebut amat dialu-alukan kerana ia juga menghendaki mahkamah melihat semula keputusan terdahulu yang hampir sama membabitkan undang-undang Anti Lompat Parti di Kelantan, yang diputuskan tidak berperlembagaan, kira-kira 30 tahun lalu," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini, empat ADUN iaitu ADUN Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin, ADUN Sungai Acheh, Zulkifli Ibrahim, ADUN Bertam, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq dan ADUN Teluk Bahang, Zolkifly Md Lazim telah memfailkan injunksi terhadap badan perundangan Pulau Pinang daripada meluluskan usul pengosongan kerusi masing-masing selepas mereka mengambil keputusan menyokong PN.

Keempat-empat ADUN berkenaan juga memfailkan saman untuk menghentikan kerusi disandang tidak dikosongkan.

Usul itu bagaimanapun ditangguhkan kerana penularan wabak Covid-19 selain mengelakkan pilihan raya negeri diadakan ketika pandemik.

Keputusan itu turut mengambil kira kes jangkitan Covid-19 melonjak selepas pilihan raya negeri Sabah diadakan.

Pada Rabu, panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa peruntukan di bawah Enakmen Anti Lompat Parti Pulau Pinang adalah sah dan berperlembagaan.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, yang mempengerusikan panel itu berkata, Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang adalah sah kerana ia konsisten dengan Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang menyatakan bahawa seseorang ADUN hendaklah mengosongkan kerusinya jika telah dipilih sebagai calon parti politik, beliau perlu meletak jawatan atau dipecat daripada parti atau telah dipilih, selain sebagai calon parti politik, menyertai parti politik lain.

Pada 12 April lalu, Pesuruhjaya Kehakiman, Azizan Md Arshad membenarkan permohonan DUN Pulau Pinang dan Speakernya, Datuk Law Choo Kiang, untuk merujuk beberapa persoalan kepada Mahkamah Persekutuan bagi membolehkan mahkamah itu mendengar serta memutuskan isu perlembagaan berkaitan Enakmen Anti Lompat Parti negeri itu.