Siasat anggota didakwa minta wang, periksa telefon bimbit orang awam

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis sedang mengesan individu yang mendakwa tidak berpuas hati apabila telefon bimbitnya diperiksa oleh anggota polis termasuk didakwa meminta wang RM100 berhampiran kawasan pusat beli-belah di sini.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya mengesan individu terbabit setelah kenyataannya tular di media sosial pada Rabu.

"Seorang lelaki mendakwa telah ditahan oleh tiga anggota polis yang sedang membuat rondaan berhampiran kawasan pusat beli-belah di sini.

"Anggota berkenaan telah membuat semakan terhadap telefon bimbit lelaki terbabit dan telah menjumpai satu aplikasi MKT (beli nombor ekor) dan mendapati lelaki tersebut telah memenangi RM4,300," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Amihizam berkata, anggota polis tersebut didakwa meminta wang RM100.

"Setelah beredar, lelaki berkenaan tidak berpuas hati lalu memuat naik kejadian itu di laman sosial," ujarnya.

Amihizam berkata, pihaknya sedang mengesan individu itu untuk mengambil keterangannya bagi membantu siasatan.

"Kita tidak menjalankan pemeriksaan terhadap telefon bimbit di jalanan kecuali untuk tujuan siasatan.

"Orang ramai dinasihatkan agar lebih berwaspada serta segera melaporkan kegiatan penyalahgunaan kuasa oleh anggota polis ke balai polis berdekatan," ujarnya.