Pelaporan rasuah tidak hanya terhad kes mahkamah

A
A
A

SHAH ALAM - Peranan media dalam menangani isu rasuah di negara perlu diperhebatkan lagi dan tidak hanya terhad kepada memberikan pelaporan mengenai kes yang dibicarakan di mahkamah.

Editor dan penyampai Astro Awani, Dzulfitri Yusop berkata, selain bertindak sebagai pendidik kepada masyarakat, media juga perlu menjalankan tanggungjawab mendesak isu berkaitan pembaharuan institusi.

“Ada perkara lain lebih luas daripada kes mahkamah.

Kes mahkamah hanyalah pengakhiran kepada sesuatu hal berkaitan rasuah.

“Yang lebih luas contohnya kita mendesak kepada pemerkasaan media untuk melaporkan sesuatu perkara.

Selain itu, bagaimana juga badan penguatkuasaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu diberikan satu kuasa dan juga kebebasan untuk melaksanakan tugas mereka.

“Ini adalah satu tugasan yang perlu dilakukan setiap masa dan bukan hanya ketika musim Pilihan Raya Umum (PRU) sahaja,” katanya ketika menjadi panel pada program Kompas Rasuah Busters bertajuk ‘Rasuah: Media Sudah Buat Kerja, Next?’ yang disiarkan secara langsung di semua platform Sinar Harian pada Rabu.

Hadir sama dalam program dikendalikan Zaim Zaini itu ialah Penerbit Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Ally Iskandar Mohd Mardzi dan Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Alsagoff.

Dalam pada itu, Dzulfitri menafikan bahawa media mengambil sikap selektif dalam pelaporan berkaitan dengan isu rasuah.

Bagaimanapun, Dzulfitri, mengakui media di negara ini agak kurang dalam menjalankan laporan berbentuk penyiasatan antaranya disebabkan kekurangan perundangan seperti Akta Pemberi Maklumat.

“Itu satu sisi yang menuntut penguatkuasaan dan perhatian yang jelas oleh pembuat dasar.

"Sekiranya diberikan satu peluang, sudah pasti media akan ada masa lebih untuk memberikan laporan penyiasatan diperlukan,” ujarnya.

Ujar Dzulfitri, masyarakat kini dilihat memiliki pemahaman lebih luas berkenaan pelaporan rasuah yang diterima dan tidak terhad hanya kepada berita sensasi berkaitan isu tersebut.

Jelas beliau, perkembangan itu dapat dilihat melalui reaksi ditunjukkan masyarakat terhadap beberapa isu yang berlaku di dalam negara antaranya dalam isu banjir, pembalakan dan penyelenggaraan jalan.

“Masyarakat dah ada keinginan dan pengetahuan bahawa adakah ini berkaitan dengan rasuah?

"Projek sekolah saya tidak siap, kenapa?

"Jadi saya kira ini adalah peluang yang perlu diraih oleh media dan ianya perlu disantuni,” katanya.