'Sekularisme itu ajaran sesat' - Abdul Hadi

Abdul Hadi
Abdul Hadi
A
A
A

SHAH ALAM – Ideologi sekularisme merosakkan diri manusia dan institusi kekeluargaan, termasuklah politik, ekonomi, sosial dan alam sekitar.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, perkara itu sangat membahayakan kerana amalan mereka yang terlalu bebas tanpa mempedulikan soal perhitungan dosa dan pahala yang ditekankan dalam agama.

Menurutnya, ajaran sesat itu dibawa masuk oleh para penjajah ke dalam masyarakat Islam ketika penaklukannya dengan pelaksanaan strategi membuang kuasa agama Islam dalam urusan dunia, khususnya dalam pentadbiran negara.

“Penularan ideologi ini menyebabkan umat Islam khususnya raja-raja tidak mempunyai kuasa untuk mentadbir negara mengikut ajaran Islam, atas sifatnya menjadi ketua negara apabila Islam dianuti sebelum kedatangan penjajah,” katanya dalam tulisan Minda Presiden Pas yang disiarkan di Facebook beliau pada Rabu.

Abdul Hadi berkata, walaupun penjajah asing telah keluar daripada tanah air umat Islam selepas diberikan kemerdekaan, namun mereka meninggalkan suatu bentuk ajaran sesat di bekas tanah jajahannya.

“Sekularisme terus berkuasa sehingga mempengaruhi sistem pelajaran, pendidikan dan media yang menyesatkan.

“Kita sedang menyaksikan kegagalan ideologi ciptaan sekularisme di negara-negara yang menganutinya,” katanya

Jelasnya lagi, umat Islam yang meneruskan ajaran yang sesat itu terus berada dalam masalah yang tidak mampu diselesaikan.

“Sekularisme ialah konsep yang menyatakan bahawa kerajaan atau entiti lain harus wujud secara terasing daripada agama atau memisahkan urusan dunia daripada kepercayaan agama dan merupakan suatu konsep yang bukan daripada ajaran Islam,” katanya.