Fat Full dilantik Ketua Sayap Bersekutu Bersatu

FAT FULL
FAT FULL
A
A
A

JOHOR BAHRU - Ketua Sayap Bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Chong Fat Full menyasarkan untuk menarik lebih banyak penyertaan bukan Melayu ke dalam parti itu.

Justeru, beliau akan segera merangka strategi bagi merealisasikan rancangan itu sebagai persediaan berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 ( PRU15) yang boleh diadakan pada bila-bila masa sahaja.

"Sebaik sahaja dilantik sebagai Ketua Sayap Bersekutu Bersatu, saya mahu menarik lebih ramai dalam kalangan orang bukan Melayu sertai Bersatu.

"Saya turut terharu dan berbesar hati dengan kepercayaan pucuk pimpinan Bersatu ini. Justeru, tanggungjawab yang diberikan ini akan digalas sebaik mungkin dengan membantu parti.

"Saya akan segera mengadakan mesyuarat bersama pimpinan sayap termasuk di negeri bagi merangka pelan serta strategi bagi menarik sokongan kaum bukan Melayu terhadap parti," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Dalam pada itu, Fat Full berkata Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr Santhara yang juga mantan ketua sayap berkenaan turut memberi jaminan akan memberi bantuan sewajarnya.

"Santhara adalah pemimpin berpengalaman dan sudah pasti kami akan memanfaatkan pengalamannya bagi mengukuhkan sayap ini," katanya.

Menurut beliau, Sayap Bersekutu Bersatu perlu bekerja keras bagi menangkis salah faham masyarakat bukan Melayu terhadap parti selain menangkis kritikan parti lawan.

Pada Rabu Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin, dilaporkan mengumumkan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Fat Full dilantik sebagai Ketua Sayap Bersekutu Bersatu.

Pelantikan itu bagi menggantikan Santhara, yang dilapor menghantar surat peletakan jawatan pada 22 Julai lalu.