Kadar pengangguran menurun: Saravanan

Saravanan. - Foto Bernama
Saravanan. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Sumber Manusia (KSM) menyatakan kadar pengangguran negara ini menurun kepada 3.9 peratus pada Mei 2022.

Menterinya, Datuk Seri M Saravanan bagaimanapun berkata, kadar pengangguran itu masih belum kembali ke tahap sebelum pandemik iaitu 3.2 peratus.

Disebabkan itu katanya, kerajaan telah mempergiatkan usaha dengan mengadakan beberapa program bagi meningkatkan kadar penyertaan tenaga buruh serta mengurangkan kadar pengangguran.

“(Dengan) melaksanakan Program Jamin Kerja-Insentif Penggajian akan memanfaatkan pencari kerja dari seluruh negara.

“Program ini merupakan satu insentif kewangan yang diberikan kepada majikan yang membuat pengambilan baharu mulai 1 Januari 2022 dalam kalangan perantis, graduan, golongan mudah terjejas termasuk orang kurang upaya (OKU), bekas tentera, bekas banduan, warga emas serta penganggur am,” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Dr Shahruddin Md Salleh (Pejuang-Sri Gading) yang bertanyakan solusi kementerian dalam mengurangkan kadar pengangguran negara seperti paras prapandemik pada kadar 3.5 peratus.

Tambahnya, antara usaha lain dipergiatkan oleh kerajaan adalah dengan meluaskan program Sistem Insuran Pekerjaan-Elaun Mencari Pekerjaan Plus kepada golongan bukan pencarum bagi membantu mereka dalam usaha mendapatkan pekerjaan baharu.

“Setakat 29 Julai 2022, seramai 1,487 pencari kerja telah diluluskan permohonannya bagi program ini.

“Selain itu, kerajaan juga telah meluaskan Sistem Insuran Pekerjaan-Elaun Mencari Pekerjaan Plus kepada pencarum yang tidak layak mendapat Elaun Mencari Pekerjaan SIP.

“Sehingga 29 Julai 2022 pula, seramai 19,234 pencari kerja telah diluluskan permohonannya bagi program ini,” ujarnya.