Pakar siasat lubang benam besar di padang pasir

Lubang benam yang besar muncul berhampiran lombong Alcaparrosa di padang pasir Atacama, Chile pada minggu lalu. - Foto AFP
Lubang benam yang besar muncul berhampiran lombong Alcaparrosa di padang pasir Atacama, Chile pada minggu lalu. - Foto AFP
A
A
A

SANTIAGO - Pakar-pakar di Chile pada Selasa sedang menyiasat kemunculan lubang benam yang besar berhampiran kawasan lombong tembaga di padang pasir Atacama di negara itu.

Lubang benam itu adalah lebih besar daripada gelanggang tenis.

Pakar-pakar telah dihantar untuk memeriksa lubang tersebut yang selebar lebih 23 meter dan dalam kira-kira lebih 100 meter.

Ia muncul di kawasan kira-kira 800 kilometer di utara Santiago pada hujung minggu lalu, kata Perkhidmatan Geologi dam Perlombongan Kebangsaan dalam satu kenyataan seperti dilaporkan AFP.

Perimeter keselamatan telah didirikan di sekeliling lubang di perbandaran Tierra Amarilla berhampiran lombong Alcaparrosa yang dikendalikan oleh firma Kanada, Lundin Mining.

Syarikat itu dalam satu kenyataan berkata, tiada kesan terhadap kakitangan, peralatan atau infrastruktur dan lubang benam itu kekal stabil sejak ia mula dikesan.

Sebagai langkah-langkah pencegahan, kerja-kerja pembangunan di kawasan lombong bawah tanah Alcaparrosa telah digantung buat sementara waktu, kata syarikat itu.

Pengarah Perkhidmatan Geologi dam Perlombongan Kebangsaan, David Montenegro berkata, pakar-pakar akan berusaha untuk menentukan punca tanah di kawasan tersebut runtuh dan memastikan semua langkah keselamatan diambil untuk melindungi nyawa pekerja serta komuniti yang berhampiran dengan tapak itu. - Agensi