'Arwah seorang ceria, sering mudahkan urusan orang lain'

Allahyarham Fajim Juffa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Tasik Kesuma, Semenyih. - Foto Bernama.
Allahyarham Fajim Juffa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Tasik Kesuma, Semenyih. - Foto Bernama.
A
A
A

SEMENYIH - Allahyarham Fajim Juffa Mustafa Kamal, 52 yang terkorban dalam nahas pesawat ringan di Jalan Dr Nazrin Shah, Ipoh, Perak pada Isnin, disifatkan sebagai seorang yang mesra, ceria dan sering memudahkan urusan orang lain, demikian menurut Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Affendi berkata, Allahyarham Fajim Juffa semasa berkhidmat dengan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pernah berada di bawah seliaannya di Skuadron MiG-29.

"Dia (Fajim Juffa) merupakan salah seorang juruterbang di bawah naungan saya di skuadron MIG-29, saya boleh kata kalau di mana dia berada, suasana akan menjadi ceria, boleh juga kata apa yang dia lakukan akan menyenangkan ramai orang.

"Kita dapat lihat hari ini berapa ramai kawan dia yang datang, dia berkawan dengan semua orang, dia tiada batasan dalam berkawan," katanya ketika ditemui pemberita selepas pengebumian Allahyarham Fajim Juffa di Tanah Perkuburan Islam Bandar Tasik Kesuma di sini, malam Selasa.

Affendi turut mendoakan agar roh Fajim Juffa ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan berharap keluarga Allahyarham tabah dalam menghadapi saat sukar ini.

Affendi berkata ATM akan meneliti bentuk bantuan yang boleh diberi kepada keluarga Allahyarham memandangkan arwah merupakan veteran tentera.

"Ketika ini pun banyak rakan-rakan telah memberikan bantuan, dan bantuan yang rasmi akan diteliti kemudian," katanya.

Dalam insiden kira-kira 8 malam Isnin, Fajim Juffa berasal dari sini maut, manakala Muhammad Din Fikri Zainal Abidin, 62, dari Bukit Damansara, Kuala Lumpur cedera dan berada dalam keadaan stabil. - Bernama.