Tiga cadangan kepada KBS wujudkan atlet 'badang' lebih kompetitif

Laporan Sinar Harian pada Selasa. (Gambar kecil: Ayub)
Laporan Sinar Harian pada Selasa. (Gambar kecil: Ayub)
A
A
A

PERSEKUTUANAngkat Berat Malaysia (PABM) menyambut baik respon segera Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang menyokong sukan tersebut disenaraikan semula sebagai sukan teras dalam usaha memperkukuhkan pembangunan atlet.

Malah Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat juga gembira dengan keprihatinan Ahmad Faizal yang telah mengarahkan supaya fasiliti sukan tersebut diperbaiki susulan lawatan menteri ke tempat latihan para atlet yang didapati agak ketinggalan sebelum ini.

"Saya mewakili penggiat sukan angkat berat Malaysia amat berharap supaya Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dapat memberikan PABM set peralatan baharu bagi membolehkan para atlet berlatih dalam keadaan selesa.

"Selain itu, PABM juga berharap KBS membantu menaik taraf pusat-pusat latihan angkat berat di akar umbi di Johor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Selangor, Melaka, Terengganu, Pahang, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak," kata Ayub pada Selasa.

Ahmad Faizal sebelum ini semasa Majlis Makan Malam Terbuka Golf Amatur Perak 2022 pada Isnin menegaskan, tiba masanya sukan angkat berat disenaraikan semula sebagai sukan teras negara dalam usaha memperkukuh aktiviti pembangunan atlet.

Jelasnya, ini kerana semakin ramai bakat dalam sukan tersebut menyerlah khasnya apabila dua pingat emas disumbangkan kem angkat berat negara di Birmingham 2022.

Pada masa sama, Ayub berharap KBS dan Kementerian Pendidikan dapat bekerjasama dengan PBAM menjadikan angkat berat sebagai antara sukan dalam Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM).

"Ini penting bagi membolehkan para atlet pelapis dibentuk dari peringkat sekolah rendah lagi seterusnya menjadi penyumbang pingat dalam temasya Sukan Olimpik, Sukan Komanwel dan Sukan SEA

"Kejayaan tiga atlet angkat berat negara meraih dua emas dan satu perak di Sukan Komanwel Birmingham 2022 baru-baru ini, sewajarnya membuka mata KBS dan kerajaan untuk melihat kembali terhadap sukan yang serba kekurangan ini.

"Saya dan penggiat sukan angkat berat negara percaya sukan ini akan menyerlah dan mengharumkan nama Malaysia pada masa depan, sekiranya kerajaan memberikan perhatian terhadap aspek pembangunan," ujarnya.

Untuk rekod, angkat berat menjadi antara tiga sukan digugurkan daripada senarai sukan teras selain sepak takraw dan taekwondo pada 2017, berikutan kemerosotan prestasi sukan itu termasuk masalah disiplin dalam kalangan atletnya.