Polis terima tiga laporan kes tipu skim Bantuan Khas Covid-19

Azmi
Azmi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Kuala Lumpur menerima tiga laporan berkaitan penipuan skim Bantuan Khas Covid-19 (BKC) yang membabitkan kerugian sebanyak RM4,550.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, tiga lelaki warga tempatan berusia berusia 26 hingga 48 tahun telah membuat laporan pada Khamis hingga Sabtu lalu.

"Seorang penolong pengurus mengalami kerugian sebanyak RM3,510, mangsa kedua adalah seorang pentadbir rugi RM610 dan mangsa terakhir seorang pemandu e-hailing rugi RM430," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Azmi berkata, modus operandi scammer tersebut adalah menawarkan BKC berjumlah RM500 setiap seorang melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

"Bantuan tersebut kononnya akan dikreditkan ke dalam akaun selepas mangsa mengisi butiran peribadi melalui pautan yang diberikan," katanya.

Azmi berkata, setelah mengisi butiran peribadi di dalam pautan tersebut, mangsa mendapati baki di dalam akaun mereka telah berkurangan.

"Kes disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," ujarnya.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengeluarkan pengumuman bahawa tidak pernah menghantar sebarang pesanan berkaitan pemberian bantuan kewangan.

"Orang ramai dinasihatkan untuk melayari Twitter MySejahtera untuk mendapatkan pengesahan berkenaan skim BKC.

"Perlu berwaspada dan tidak sewenang-wenangnya memuat turun sebarang pautan yang tidak pasti kesahihannya atau tidak berkenaan," ujarnya.