Op Tapis Khas Siri 5: Lebih 4,000 tokan, penagih diberkas

PDRM
PDRM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 4,243 orang disyaki tokan dan penagih dadah telah ditahan atas pelbagai kesalahan dadah dalam Operasi Tapis Khas (Op Tapis Khas) Siri 5 bermula Rabu hingga Jumaat lalu di seluruh negara.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, dalam operasi itu sebanyak 99.03 kilogram (kg) dan 508 liter pelbagai jenis dadah serta senjata api telah berjaya dirampas yang dianggarkan bernilai RM607,878.91.

"Sepanjang operasi itu seramai 9,684 orang telah diperiksa dan daripada jumlah tersebut seramai 4,243 orang berusia 14 hingga 70 tahun ditangkap atas pelbagai kesalahan dadah," katanya.

Noorsiah berkata, seramai 426 tokan termasuk dua penjawat serta 30 warga asing ditahan dalam operasi tersebut, selain menahan 2,077 penagih dadah termasuk 14 penjawat awam, 60 warga asing dan sembilan pelajar.

Beliau berkata, seramai 196 orang dikehendaki atas pelbagai kesalahan dadah turut diberkas dalam operasi itu.

"Kita juga menahan 1,544 orang termasuk 21 warga asing dan lapan penjawat atas kesalahan lain berkaitan kes dadah," ujarnya.

Noorsiah berkata, operasi itu melibatkan seramai 1,864 pegawai dan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan dibantu 107 anggota penguatkuasa Agensi Antidadah Kebangsaan dan 153 anggota penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan.

katanya, objektif operasi khas adalah untuk mengesan dan menangkap tokan dadah di sekatan jalan raya, memusnahkan sarang penagihan dadah, mengambil tindakan ke atas penagih tegar serta mengesan dan menangkap individu dikehendaki atas kesalahan dadah.

"Kita juga mengambil tindakan pencegahan ke atas pengedar dadah yang telah dikenal pasti dan mengambil tindakan ke atas pemandu-pemandu kenderaan berat," katanya.

Beliau berkata, selain tu, tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, di mana aset yang dianggarkan bernilai RM811,608 telah disita.

"Kita telah menyita wang tunai berjumlah RM13,228, barang kemas (RM450), kenderaan (RM789,730), jam tangan (RM4,000) gitar elektrik (RM2,400) dan set drum (RM 1,800)," katanya.

Noorsiah berkata, seramai 20,561 orang telah ditangkap atas pelbagai kesalahan dadah sepanjang Operasi Tapis Khas 1 hingga 5 yang dijalankan sejak Januari hingga Julai lalu.

"Sejumlah dua tan dan 2,530.32 liter pelbagai jenis dadah yang bernilai RM15 juta telah berjaya dirampas," katanya.