Keberanian Ibrahim dihargai

Ibrahim menunjukkan sijil penghargaan yang diterimanya.
Ibrahim menunjukkan sijil penghargaan yang diterimanya.
A
A
A

KOTA BHARU - Keberanian seorang pegawai bomba menyelamatkan seorang lelaki yang cuba terjun dari tingkat 37 sebuah pangsapuri dalam pembinaan pada Jun lalu, menerima pujian dan pengiktirafan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan di sini pada Selasa.

Pegawai Penyiasat Forensik Kebakaran, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Ibrahim Safin, 35, menerima sijil penghargaan disampaikan Pengarah JBPM Kelantan, Zainal Madasin pada Perhimpunan Bulanan Bulan Ogos JBPM Kelantan di Ibu Pejabat JBPM Kelantan di Tunjong di sini.

Ibrahim (kanan) menerima sijil penghargaan yang disampaikan oleh Zainal (dua dari kanan).
Ibrahim (kanan) menerima sijil penghargaan yang disampaikan oleh Zainal (dua dari kanan).

Menceritakan semula detik cemas itu, Ibrahim yang kebetulan berada berdekatan tempat kejadian di Lembah Sireh itu bergegas ke lokasi dan melihat seorang lelaki memanjat besi kren yang terjuntai keluar dari tingkat 37 bangunan tersebut.

Katanya, usaha memujuk dilakukan menggunakan pendekatan psikologi selama tiga jam dalam keadaan berada pada besi kren berketinggian 950 meter dari tanah.

“Waktu itu, ibu dan adik perempuan mangsa turut dibawa naik ke tingkat 33 untuk memujuk lelaki tersebut turun sambil membawa sebungkus nasi berlauk.

“Sambil memujuk, saya masuk dalam tong sampah yang diikat pada sebuah lagi kren lain dan dibawa mendekati lelaki itu dalam jarak 100 meter lalu memeluknya. Lelaki itu berjaya diselamatkan sebelum dibawa turun,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat JBPM Kelantan di Tunjong di sini pada Selasa.

Menurut Ibrahim, pengalaman itu kali ketiga dialaminya dan sebelum ini turut berjaya menyelamatkan dua individu yang cuba terjun dari bangunan.

“Penugasan sebenar saya adalah melakukan siasatan berkaitan kes kebakaran manakala tugas menyelamat individu cuba terjun bangunan ini dibuat secara sukarela.

“Saya menganggapnya sebagai satu tanggungjawab yang diamanahkan dalam usaha menyelamatkan nyawa mereka yang terlibat,” katanya.

Pada 22 Jun lalu, media melaporkan seorang lelaki cuba terjun dari tingkat 37 bangunan pangsapuri dalam pembinaan di Lembah Sireh.

Lelaki tersebut dipercayai mengalami tekanan selepas bertindak menikam isteri dan ibu mentuanya dengan dua bilah pisau akibat selisih faham di sebuah rumah di Chabang Empat, Tumpat.