Bekas pengarah tidak mengaku tipu cagaran harta RM5 juta

Teoh Soo Beng (dua dari kanan) hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Selasa.
Teoh Soo Beng (dua dari kanan) hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang bekas pengarah sebuah syarikat hartanah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas tiga pertuduhan membabitkan kerugian RM5 juta, lima tahun lalu.

Teoh Soo Beng, 56, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa menipu syarikat pinjaman wang berlesen untuk memberikan pinjaman RM5 juta kepada tertuduh dengan memasuki perjanjian bertarikh 25 Mei 2017.

Dia didakwa telah memperdayakan syarikat itu untuk mempercayai bahawa empat harta miliknya, di Jalan Seri Tanjung Pinang, Pulau Pinang akan dijadikan cagaran sepanjang tempoh perjanjian pinjaman tersebut.

Tertuduh yang memakai baju kemeja bewarna biru dengan curangnya mendorong syarikat itu memberikan wang berkenaan yang mana mangsa tidak akan berbuat demikian, jika tidak diperdayakan.

Dia didakwa bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebat dan hendaklah dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa telah diamanahkan dengan penguasaan empat harta sama yang mana tertuduh telah melakukan pecah amanah jenayah dengan menjual harta tersebut.

Perbuatan itu didakwa telah melanggar terma perjanjian pinjaman wang yang yang ditandatanganinya dengan syarikat itu.

Kedua-dua pertuduhan itu didakwa dilakukan di sebuah plaza di Jalan Selvadurai Off Jalan Sultan Azlan Shah, di sini antara Mei 2017 hingga September 2019.

Dia didakwa bawah Seksyen 405 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum bawah Seksyen 406 Kanun yang sama yang membawa hukuman penjara selama tidak melebihi lima tahun atau sebat atau dengan kedua duanya, jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, dia turut didakwa atas satu pertuduhan pilihan iaitu dengan curangnya menyalah gunakan empat harta sama yang dijadikan sebagai cagaran.

Kejadian didakwa dilakukan di Persiaran Gurney, Pulau Pinang antara Mei 2017 hingga September 2019.

Dia disiasat bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun dan sebat dan hendaklah dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nurliyana Mohd Jafri mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM1 juta bagi kesemua pertuduhan.

Bagaimanapun, peguam, S Raveentharan yang mewakili tertuduh merayu agar anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar yang lebih munasabah dengan alasan dia perlu menyara ibu bapa, isteri dan anak-anak.

“Bagi pengetahuan mahkamah, anak guam saya telah diisytiharkan muflis pada 25 September 2020 lalu,” katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, hakim Kamarudin membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM50,000 bagi kesemua pertuduhan.

Mahkamah menetapkan 21 September depan untuk sebutan semula kes.