Ketua Al- Qaeda terkorban serangan dron AS

Ayman Al Zawahiri - Foto AFP
Ayman Al Zawahiri - Foto AFP
A
A
A

WASHINGTON - Ketua Al Qaeda, Ayman Al-Zawahiri terkorban dalam satu serangan dron Amerika Syarikat (AS) di Kabul, Afghanistan pada Ahad.

Presiden AS, Joe Biden dalam ucapannya dari Rumah Putih pada Isnin mengesahkan pembunuhan Al Zawahiri yang berusia 71 tahun itu.

Biden berkata, beliau membenarkan serangan tepat yang menyebabkan Ketua Al Qaeda itu terkorban.

Al Zawahiri sedang berdiri di balkoni rumah di pusat bandar Kabul pada pagi Ahad sebelum terkorban akibat serangan dua peluru berpandu yang dilepaskan dari sebuah dron AS.

Media AS melaporkan Al Zawahiri yang merupakan warga Mesir terkorban dalam serangan dron yang dilakukan oleh Agensi Perisikan Pusat (CIA).

Seorang pegawai kanan AS mengesahkan terdapat operasi yang berjaya dilakukan terhadap sasaran penting Al Qaeda di Afghanistan.

Operasi itu berlaku pada hujung minggu dan tiada kemalangan jiwa dalam kalangan orang awam, ujar pegawai itu.

Namun, seorang jurucakap Taliban melaporkan bahawa serangan dron AS itu berlaku di kawasan perumahan di Kabul.

Beliau menganggap serangan tersebut sebagai melanggar prinsip-prinsip antarabangsa.

Sebelum ini AS menawarkan ganjaran sebanyak AS$25 juta (RM111. 31 juta) terhadap maklumat yang boleh menyebabkan Al Zawahiri ditangkap. - Agensi