Mudah jadi kaya jual produk kecantikan

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

HARI Ahad lalu, Merak Jalanan tidak berkesempatan untuk membaca akbar Sinar Harian edisi Sinar Ahad kerana menyertai aktiviti Fun Walk Sinar Harian sempena ulang tahun ke-16 di Kuala Lumpur.

Pun begitu, sebagai pembaca tegar Merak Jalanan tetap membelinya dengan niat untuk membaca selepas habis program tetapi disebabkan terlalu penat dan sampai rumah pun sudah hampir waktu Zuhur, akhbar itu hanya terlipat di atas meja.

Keesokan harinya, Merak Jalanan yang hanya sempat membacanya pada Isnin tergamam laporan muka depan yang menyatakan seorang wanita sanggup membelanjakan RM30,000 setahun atau RM2,500 sebulan semata-mata untuk kekal cantik di kala kita berdepan dengan kenaikan harga barangan dan ketidaktentuan ekonomi ketika ini.

Merak Jalanan berkongsikan berita itu dengan isteri yang mana peruntukan untuk produk kecantikannya hanya RM200 untuk tempoh dua bulan. Itu pun hanya produk asas.

Yang menarik perhatian adalah penerangan isteri yang mengatakan penjual produk kecantikan wanita boleh menjadi kaya raya jika kena dengan caranya.

Ini kerana katanya, 15.5 juta penduduk wanita di Malaysia, perangkaan baharu bagi tahun 2020, sudah semestinya akan melaburkan wang paling kurang RM100 sebulan untuk produk kecantikan.

Jadi katanya, tidak hairan pada hari ini, ramai jutawan produk kecantikan wanita berjaya dihasilkan.

Cuma bagi Merak Jalanan, dalam situasi ekonomi yang tidak menentu ini, banyak aspek perbelanjaan yang perlu dititikberatkan dan memerlukan pertimbangan sewajarnya.

Utamakan yang penting terlebih dahulu dan perlu menjadi pembeli atau pengguna yang bijak.

Bukan tak boleh kelihatan cantik tetapi ukurlah baju di badan sendiri.