Malaysia tumpas England untuk layak ke final

Chan Peng Soon (kanan) bersama rakannya, Cheah Yee See membalas hantaran lawannya dari England, Marcus Ellis dan Lauren Smith pada perlawanan separuh akhir badminton campuran berkumpulan semasa Sukan Komanwel Birmingham 2022 di Dewan NEC pada Isnin. - Foto Bernama
Chan Peng Soon (kanan) bersama rakannya, Cheah Yee See membalas hantaran lawannya dari England, Marcus Ellis dan Lauren Smith pada perlawanan separuh akhir badminton campuran berkumpulan semasa Sukan Komanwel Birmingham 2022 di Dewan NEC pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

SKUAD badminton berpasukan campuran negara hanya sahaja selangkah lagi untuk merampas pingat emas di temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022 apabila mara ke pentas final selepas menjinakkan tuan rumah, England 3-0 di sini pada Isnin.

Pada final hari ini, Malaysia akan bertemu pemenang satu lagi perlawanan separuh akhir di antara juara bertahan, India dan Singapura.

Pada saingan separuh akhir di Dewan Pusat Pameran Kebangsaan di sini, sorakan penonton tuan rumah tidak menjejaskan semangat dan tumpuan pemain negara apabila memperoleh mata pertama menerusi beregu campuran, Chan Peng Soon-Cheah Yee See.

Namun ia bukan kemenangan mudah apabila Peng Soon-Yee See tewas 12-21 pada set pembukaan sebelum bangkit membenam Marcus Ellis-Lauren Smith 21-18, 21-13.

"Kami banyak fikir dan tiada keyakinan pada set pertama namun jurulatih memberi kata-kata semangat untuk lebih berani menggalas cabaran pada dua set berikutnya.

"Bagaimanapun, kami berazam untuk merampas emas daripada India, sekiranya berjumpa di pentas final,” kata Peng Soon kepada pemberita selepas perlawanan itu.

Pemain perseorangan utama negara, Ng Tze Yong, mengukuhkan kedudukan Malaysia apabila dengan mudah mengalahkan Toby Penty, 21-13, 21-14.

Beregu gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, mengesahkan laluan Malaysia ke final buat kali kelima berturut-turut sejak 2006 di Melbourne, Australia apabila mengatasi Ben Lane-Sean Vendy, 21-17, 21-18.

Malaysia mendominasi emas acara berpasukan sejak 2006 Melbourne, 2010 New Delhi dan 2014 Glasgow sebelum terlepas kejuaraan kepada India pada edisi 2018 di Gold Coast, Australia. - Bernama