AUG 2022: Misi buruan emas ke-35 tertangguh lagi

Aksi atlet negara ketika memanjat tembok di AUG 2022.
Aksi atlet negara ketika memanjat tembok di AUG 2022.
A
A
A

PINGAT emas ke-35 yang menjadi buruan kontinjen negara pada temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022 tertangguh lagi hari ini.

Selepas enam hari mengharungi saingan di bumi Ubon Ratchathani ini, suasana dalam kem negara agak sepi berbanding hari-hari sebelumnya.

Percubaan untuk ‘menggali’ lebih banyak emas hari ini telah menemui kehampaan, sebaliknya hanya dua butir pingat perak yang berjaya ditemui.

Akibatnya, misi untuk melengkapkan angka ke-35, jumlah yang menjadi sasaran pada temasya kali ini tertangguh lagi.

Kontinjen negara beraksi dalam tiga acara final iaitu lawan pedang (epee berpasukan lelaki), petanque dan sukan memanjat tembok kategori boulder lelaki dan wanita.

Namun, misi mereka untuk menjelmakan emas tidak kesampaian kerana terkandas di peringkat akhir.

Kesudahannya, hanya dua butir perak yang berjaya diraih iaitu menerusi acara lawan pedang kategori epee berpasukan lelaki dan juga menerusi acara petanque perseorangan lelaki.

Dua atlet memanjat tembok iaitu Renee Tan Sui Lin (boulder wanita) dan Kevin Eddie Fred (boulder lelaki) terkeluar daripada persaingan untuk mendapatkan pingat.

Pasukan epee lelaki negara yang diperkuatkan oleh Akson Hydheer, Isaac Seet Kai Xuan, Lin Jit Ian dan Mohd Zafril Rizal Muhammad Aiman Najmi sekadar menamatkan misi mereka dengan penyudah pingat perak.

Mereka tewas kepada tuan rumah, Thailand yang memenangi aksi final itu dengan keputusan 45-30.

Perak kedua pula disumbangkan oleh atlet petanque, Haris Jonaidey dalam acara perseorangan lelaki.

Haris tewas 5-13 kepada atlet Thailand, Khamdee Ratchata yang ternyata berada dalam kelas tersendiri sepanjang pertarungan dalam babak akhir itu.

“Saya telah melakukan yang terbaik sejak daripada peringkat awal lagi sehingga ke final, tetapi lawan saya terlalu hebat. Saya telah berusaha sebaik mungkin tetapi semuanya serba tidak menjadi,” jelas Haris.

Seorang lagi atlet petanque negara, Sharifah Aqilah Farhana Syed Ali yang menggalas cabaran dalam kategori perseorangan wanita gagal dengan misinya untuk meraih pingat.

Dia tewas kepada atlet Laos, Nidavanh Douangmanichanh 7-13 dalam perlawanan penentuan pingat gangsa.

Acara lain yang berlangsung hari ini adalah futsal dan skuad negara yang beraksi dalam perlawanan kelayakan, tewas 1-2 kepada Vietnam.

Skuad bola keranjang juga mengalami kegagalan apabila tewas 58-63 kepada tuan rumah, Thailand.

Pasukan foil wanita juga tewas dalam acara berpasukan kepada Kemboja, sekali gus gagal mara ke perlawanan penentuan pingat.

Skuad catur negara yang meneruskan cabaran mereka hari ini dilihat berpotensi untuk menyumbang pingat dan selepas bersaing selama tiga hari, mereka berada dalam kedudukan terbaik untuk penyudah pingat yang akan ditentukan pada 3 Ogos nanti.

Untuk rekod, kontinjen negara kekal berada di kedudukan kedua keseluruhan dengan kutipan 34 emas, 54 perak dan 28 gangsa.

Esok, misi memburu pingat ke-35 diteruskan dengan acara petanque bakal menjadi sandaran untuk merealisasikan impian tersebut.