Keluarga Abdul Khalid ucap terima kasih

Isteri arwah, Puan Seri Salbiah Tunut (kiri) mengaminkan bacaan doa selepas selesai pengkebumian jenazah suaminya yang juga bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di Makam DiRaja Shah Alam pada Isnin. - Foto Bernama
Isteri arwah, Puan Seri Salbiah Tunut (kiri) mengaminkan bacaan doa selepas selesai pengkebumian jenazah suaminya yang juga bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di Makam DiRaja Shah Alam pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Keluarga bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjunjung kasih Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang berkenan mencemar duli memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham di Makam Diraja Shah Alam di sini pada Isnin.

Anak kepada Allahyarham, Muhammad Ali Iqbal mewakili ahli keluarganya turut mengucapkan terima kasih kepada seluruh warga Cardiac Vascular Sentral Hospital, Kuala Lumpur yang merawat serta memberikan perkhidmatan sepanjang Allahyarham berada di hospital sejak 23 April yang lalu.

Dia menerusi satu hantaran di Facebook juga mengucapkan terima kasih kepada kepada ahli jawatankuasa dan kariah Masjid Saidina Umar Al Khattab, Bukit Damansara, Masjid Sultan Sharafuddin Idris Shah, dan warga kerja di Makam Diraja Shah Alam, di sini yang mengurus pengkebumian Allahyarham.

Imam besar Muhammad Farhan Wijaya mengimamkan solat jenazah bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada Isnin. - Foto Bernama
Imam besar Muhammad Farhan Wijaya mengimamkan solat jenazah bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada Isnin. - Foto Bernama

"Terima kasih tidak terhingga juga kepada seluruh rakyat jelata yang telah tidak putus-putus mendoakan ayahanda saya sejak berita beliau dimasukkan ke hospital tersebar.

"Bagi pihak keluarga, saya dengan rendah diri mohon dihalalkan segala yang Allahyarham ayahanda saya terima dari rakyat sekalian.

"Maafkan ayahanda kami jika beliau ada melakukan kesalahan samada secara sengaja mahupun yang secara tidak sengaja menyinggung mana-mana pihak," katanya pada Isnin.

Jenazah Allahyarham Abdul Khalid selamat dikebumikan di Makam Diraja Shah Alam di sini sekitar jam 2.30 petang pada Isnin.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenaan berangkat ke majlis pengebumian Abdul Khalid di sini.

Antara yang dilihat hadir bagi menyaksikan perjalanan terakhir Allahyarham Abdul Khalid ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir, Setiausaha Kerajaan Selangor, Datuk Haris Kasim.

Turut hadir di sini ialah Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dr Ahmad Shahir Makhtar, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi.